From the Author

noneIlmi Ahmad, a professional motivator. Co-founder of PROQUEST. A Blogger fan.
Email me at enduringclarity@gmail.com or, Contact me through Skype: Ilmi Ahmad

COPYRIGHT & USAGE: All of my entries I posted here are free to copy for any type of personal or commercial use. All I ask is just to give me a credit link as its author.

My Tribute to: SAVE Syria!

Krisis Kemanusiaan dan pertumpahan DARAH di Syria masih tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari Masyarakat Malaysia. Maklumat terkini, layari http://www.facebook.com/savesyriamy

My Tribute to: Chelsea FC

Chelsea - The New UEFA Champions League 2012 Champions. Catch all the latest news and info about Chelsea football club, players, and fans.

Makkah al-Muqarramah

Masjidil Haram di Tanah Suci Mekah. Impianku untuk ke sana.

Motivasi Kejayaan

Kejaayan tidak akan datang dengan sendiri, ia perlu dikejar dengan usaha dan kesungguhan.

My Tribute to: Muhammad SAW

Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta kaum keluarga baginda dan para sahabat seluruhnya.

Showing posts with label Social Issue. Show all posts
Showing posts with label Social Issue. Show all posts

Wednesday, June 27, 2012

Alalalalatok Jangan Saman!

Sungguh sinonim rasanya lagu yang saya ambil sedikit baitnya untuk dijadikan tajuk entri saya kali ini dengan isu terkini yang agak rancak dibincangkan dalam minggu ini, iaitu berhubung kadar baru had denda minimum dan maksimum bagi kesalahan memandu melebihi had laju yang dijangka akan diluluskan Dewan Rakyat.

Antara port yang senang pemandu nak nampak tapi kena juga.


Bagi yang biasa mendengar radio-radio berinformatif pasti akan kedengaran perkara ini dijadikan topik perbincangan dengan para pendengar mereka. Saya tertarik dengan isu ini kerana ia berkait rapat dengan sikap masyarakat dan sikap yang diambil oleh pihak pemerintah atau berkuasa dalam menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan. Ya, bagi saya ini isu kemasyarakatan.

Al-kisah, ramailah yang memberikan pendapat mereka berdasarkan fikir rasa masing-masing. Ada yang setuju dan ada yang tidak bersetuju. Itu biasa. Tapi ada juga yang membuat sesuatu yang tidak biasa, iaitu tidak bersetuju untuk bersetuju dan tidak setuju untuk tidak bersetuju. Bagaimana itu? Hahaha.. Macam-macam orang Malaysia.

Saya kira tindakan ini sebenarnya ada pro dan banyak pula kontranya. Bagi saya dalam membentuk atau juga membetulkan sikap rakyat, pihak berkuasa juga perlu membetulkan caranya. Mendidik dan mendisiplin pemandu dengan hanya mengenakan kadar saman yang tinggi bukanlah kaedah yang paling baik, walaupun saya akui ia turut memberi kesan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mampu hal ini bukanlah masalah besar bagi mereka. Iyalah, kebanyakan kereta yang dipandu dengan had laju yang tinggi ini ialah kereta yang berkuasa tinggi, dan sudah tentulah kereta yang berkuasa tinggi itu harganya lebih tinggi yang hanya mampu dibeli oleh mereka yang bergaji tinggi. Wah, semuanya tinggi-tinggi belaka!

Fikir Rasa saya, tindakan yang perlu diambil oleh pihak berkuasa ialah memperkenalkan denda tidak terlalu bersifat materialistik tetapi lebih kepada khidmat bakti dan manfaat kepada masyarakat amnya. Bukan sahaja pemandu tersebut dikenakan denda sebagai hukuman supaya serik, tetapi juga pada masa yang sama ahli masyarakat yang lain mendapat manfaat kebaikan dan sekaligus saya kira boleh menyumbang kepada kesedaran ruhaniah pemandu yang didenda itu sendiri.

Apa kata pemandu yang disabitkan kesalahn had laju dikenakan denda membersihkan perparitan kawasan tertentu dengan memakai baju khas yang menunjukkan bahawa dia merupakan seorang pesalah dalam jumlah jam yang tertentu bergantung kepada berapa laju dia pandu. Ini sekadar contoh, dan boleh juga aplikasikan terhadap mana-mana kesalahan lain.

Apa pun, secara peribadi saya tidak bersetuju dengan cadangan kadar saman baru tersebut kerana banyak lagi gejala lain boleh berlaku disebalik undang-undang tersebut. Namun dicadangkan tambah baik hukuman yang ada sekarang dengan dendaan yang bersifat khidmat komuniti. 

Ingat, duit - boleh dibayar, malu - siapa yang boleh bayar?

Friday, June 22, 2012

"Meneladani" Master Chef Selebriti

Bagi mereka yang mengikuti rancangan di Astro Ria jam 9.00 malam setiap hari Sabtu hingga Selasa, sesungguhnya kita berkongsi aktiviti yang sama pada masa yang sama. Ya, saya merupakan peminat rancangan realiti masakan yang diadaptasi dari Amerika Syarikat - Master Chef. Konsep dan cabaran-cabaran yang disediakan oleh penerbit adalah menarik bagi saya. Dan pada musim kali ini, Master Chef Malaysia memilih peserta dari kalangan selebriti Malaysia yang mewakili badan-badan kebajikan tertentu yang akan menerima sumbangan hasil sejauhmana kedudukan mereka di dalam rancangan tersebut.

Para selebriti yang terlibat sebagai peserta MasterChef Selebriti Malaysia

Pertamanya, tahniah kepada pihak penerbit dan juga penaja kerana berjaya menganjurkan rancangan seumpama ini yang turut tidak melupakan insan-insan dan badan-badan yang memerlukan bantuan dan suntikan kewangan bagi aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Sebenarnya konsep sebegini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia merupakan 'modus operandi' yang digunakan oleh pihak penerbit rancangan atau syarikat televisyen serta badan-badan korporat tertentu untuk menyalurkan sumbangan atau dana kebajikan melalui program televisyen yang melibatkan artis atau selebriti terkenal sebagai peserta program.

Namun, biasa kita dengar ungkapan ini - "Matlamat Tidak Menghalalkan Cara".  Hal yang sama ingin saya ketengahkan dalam bicara kali ini. Walaupun saya memuji idea dan konsep rancangan tersebut dan turut meminati rancangan tersebut, ini tidak bermakna saya menyokong dan bersetuju dengan semua yang berlaku dalam rancangan tersebut. Tapi tidaklah saya arahkan secara khusus kepada penerbit kerana kritikan saya ini lebih kepada tingkah laku selebriti yang terlibat dalam rancangan tersebut.

Saya begitu tidak senang dengan pergaulan di kalangan selebriti yang terlibat terutamanya yang beragama Islam (majoriti adalah selebriti Islam) yang menunjukkan contoh tidak terpuji sebagai seorang yang beragama  Islam dengan menunjukkan kemesraan "melampau" sesama mereka yang bukan mahram (lelaki-perempuan) dengan menjadikan poin hubungan rapat seperti adik-beradik mahu pun ibu/bapa-anak. Bersentuhan lelaki-perempuan (bersalaman, tepuk tangan, dan lain-lain) itu mungkin sudah "adat" mereka, namun lebih dari itu ialah mereka ini sanggup berpelukan gembira atau sedih dalam rancangan tersebut. Bukan skrip saya pasti. Cuma itu hanyalah reaksi "melampau" mereka yang tidak menjadikan agama sebagai pegangan utama. Malah dalam banyak keadaan, selebriti yang beragama Islam ini yang memulakan dulu.

Namun inilah realiti masyarakat Islam Malaysia hari ini. Sungguh! Saya begitu kecewa dengan sejauh mana ruh Islam itu diangkat dalam negara yang mengaku sebagai negara Islam ini. Islam tinggal agama adat dan agama majlis rasmi sahaja di kalangan ramai umat Islam Malaysia.

Fikir Rasa saya gerakan perubahan perlu diperhebatkan lagi oleh para ulama' dalam mengisi dan memaknai agama Islam dalam kehidupan setiap rakyat Islam di Malaysia, dan sudah pastinya dengan penglibatan para umara'.

Sunday, October 16, 2011

Hantu Yang Menghantui Kita

Serasanya kisah hantu, jembalang, pontianak, saka, dan lain-lain yang sekaum kerabat dengannya kalau nak diceritakan mahupun didebatkan sudah lama ianya bertapak dalam kehidupan kita. Sedari kecil lagi saya juga telah dikisahkan dengan pelbagai kisah-kisah benar seram oleh mereka yang lebih dewasa.

Malah kebanyakan pengusaha dan penggemar filem kini pun semakin “syok” dengan filem-filem bergenre seram (sama ada untuk menakutkan ataupun untuk berlawak). Malah mungkin “yang paling tepat” ialah seram yang memberi pengajaran dan nasihat.

Tuan-tuan… terutamanya mereka yang beragama dan mengaku Islam di luar sana, tuhan dan nabi kita tidak pernah mengajar untuk kita takut-menakutkan dengan sesuatu SELAIN Allah dan Azab di Neraka. Memanglah perasaan takut itu fitrah semulajadi manusia. Tapi haruskah kita DENGAN SENGAJA membiarkan kita untuk takut selainNya?

Dari sudut manakah filem-filem atau cerita-cerita seram (bila seram sudah pasti unsur menakutkan itu ada) ini boleh benar-benar memberi iktibar, pengajaran dan nasihat? Tanyalah sesiapa pun yang menonton cerita seram pasti perkara pertama dan utama yang terlintas dan tertanam dalam diri mereka ialah rasa takut yang kemudiannya barulah dicampuri dengan lain-lain rasa.

Saya tidaklah berniat untuk mengulas panjang isu ini mahu pun memanjangkan ulasan kerana isu ini sudah acap kali dibangkitkan dan dihujahkan dari pelbagai perspektif oleh pelbagai pihak dan individu sehingga yang terkini isu filem Hantu Bonceng.

Suka saya memberi INGATAN SERIUS kepada mereka yang menyokong akan pembikinan cerita-cerita berunsur seram ini supaya ingat akan ajaran agama Allah dan RasulNya. Sebenarnya persoalan besar disebalik semua ini bukanlah siapa takut dan siapa tidak takut, memberi pengajaran atau pun tidak, tapi silap haribulan kita yang terlibat sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung, dari penerbit hingga ke krew filem sampailah kepada penonton semuanya boleh jatuh SYIRIK!

Ramai yang akan marah kalau mereka itu dikatakan syirik. Tapi mereka tak mahu menerima hakikat kesilapan yang telah dilakukan. Di pihak yang menghasilkan filem, bukankah membuat sesuatu dengan tujuan menakutkan manusia lain kepada sesuatu yang lain selain Allah itu boleh jatuh kepada syirik!? Di pihak yang menonton pula, bukankah sengaja membiarkan diri menonton sesuatu yang boleh menyebabkan mereka rasa takut kepada sesuatu yang lain selain dari Allah itu juga boleh jatuh kepada syirik!?

Ini baru perasaan takut itu sahaja dibincangkan, belum lagi unsur-unsur lain yang boleh menghina agama, selain kesannya kepada pendidikan dan perkembangan akal dan moral manusia terutamanya kanak-kanak.

Ini bukan soal perkembangan industri filem. Apa guna kita sibuk bersorak gembira kerana sambutan yang hebat dan berjaya mengaut keuntungan yang tinggi tapi dengan menjadikan kita dan ramai orang lain kepada syirik? Na’uzubillah…

Tuan-tuan… Biarlah rezeki yang kita perolehi itu diberkati dan diredhai Allah, dan biarlah duit kita itu disalurkan ke jalan yang diberkati dan diredhai Allah. Hidup ini hanya sekali dan cuma sementara, yang kekal abadi hanyalah Allah dan kepadaNya jua akhirnya nanti kita akan kembali.

Akhirnya saya lontarkan persoalan ini kepada penggemar filem seram, Apa seronoknya menonton filem seram? Sepatutnya SERAMLAH KITA AKAN AZAB API NERAKA ALLAH.

Wednesday, October 05, 2011

Apa Salah Saya? – Hudud

Mutakhir ini politik Negara digegarkan kembali dengan isu hudud dengan respon yang pelbagai dari banyak pihak sama ada yang “kedengaran” mahu pun yang “tidak didengarkan”.

Secara tiba-tiba isu ini bangkit kembali dari tidurnya. Seolah-olahnya begitu jika hendak digambarkan keadaannya. Walaupun menurut pihak kerajaan Kelantan ianya tidak sebegitu kerana memang ada semacam seminar atau program khusus berkenaan penerangan Hudud dan undang-undang Islam yang dibuat secara tahunan.

Saya bukanlah seorang yang arif dalam perkara ini. Justeru saya telah memerhati dan membaca respon dari pelbagai pihak dari pelbagai sumber untuk melihat perkara ini dengan pandangan yang lebih luas.

Namun, saya sangat tertarik dan bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Profesor Dr. Aziz Bahri, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang merupakan seorang Pakar Perlembagaan di Malaysia. Saya kira kenyataan beliau ini sudah cukup menjelaskan isu ini dan letak duduknya, dan apa pendirian, persepsi dan tindakan yang seharusnya kita ambil. (Klik SINI untuk membaca tulisan beliau)

Sebagai seorang muslim yang yakin pada agama yang dianuti, kenapa harus kita menolak undang-undang Allah apabila ada usaha dari pihak pemerintah untuk melaksanakannya? Malah undang-undang Allah ini sudah SEMESTINYA LEBIH BAIK dari undang-undang manusia, dan pastinya tujuan ia dilaksanakan adalah untuk meningkatkan mutu dan kualiti perundangan.

Lalu, saya tidak bisa menerima bagaimana sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan rukun yang 6 itu, seseorang itu boleh menolak pelaksanannya? TAKUT? Apa yang mesti ditakutkan kalau kita tidak melakukan kesalahan? Sefaham saya, orang yang takut akan undang-undang ialah mereka yang melakukan kesalahan. Apa orang kata, “Berani kerana Benar, Takut kerana Salah”!

Kalau orang Islam itu sendiri sudah menentangnya, apatah lagi mereka yang belum beragama Islam. SEPATUTNYA tugas kita sebagai muslim (terutamanya yang mempunyai kuasa) memberikan penjelasan dan kefahaman kepada mereka yang non-muslim ini, bukan kita yang beria-ia menolaknya.

Dalam isu Hudud ini, pelaksanaanya hanyalah di negeri Kelantan sahaja dan tentunya ianya hanya terpakai kepada mereka yang beragama Islam sahaja. Kalaulah ianya terbukti berkesan dan berjaya, kenapa tidak ianya diimplimentasikan oleh negeri-negeri yang lain pula? Bukankah akhirnya kesan dan manfaatnya berbalik kepada masyarakat dan Negara umumnya?

Jadi bila sudah ada pemimpin kita yang mahu laksanakan undang-undang Allah ini, kenapa harus ianya ditentang? Bagi pemimpin Islam yang belum bersedia untuk melaksanakannya pula, seharusnya mereka menyokong dan pada masa sama mestilah menanamkan azam bahawa suatu masa nanti akan melaksanakannya juga. Tapi persoalannya bila? 10 tahun? 20? Atau 50 tahun lagi?

Teman-teman, saya ingin menyeru semua untuk berfikiran lebih terbuka dan berlapang dada dalam menerima pandangan dan fakta walau pun dari pihak yang mungkin bertentangan ideologi atau prinsipnya dengan kita. Manfaatkan akal di tempat yang betul, jangan emosi dalam berfikir. Jangan kerana demi “Kesetiaan” pada sesebelah pihak itu, kita sanggup menggadaikan agama Allah yang tercinta ini.

Fikir Rasa saya isu ini bukanlah isu politik semata. Ini ialah isu menegakkan dan memperjuangkan agama Islam sebagaimana yang dituntut ke atas semua umat Islam, terutamanya mereka yang diberi nikmat kekuasaan oleh Allah. Dari sisi lain, ini adalah antara usaha untuk meningkatkan sistem perundangan di Negara kita. Doa dan harapan saya, moga Allah akan senantiasa mengurniakan segala yang terbaik untuk rakyat dan Negara tercinta ini. Jazakallah.

Monday, March 23, 2009

Mengapa Yahudi Bijak? Kebenaran? Tauladan?

Baru-baru ini kita ada menerima emel berkenaan artikel yang diadaptasi dari penulisan tesis oleh Dr. Stephen Carr Leon yang judulnya “Mengapa Yahudi Bijak?” (setelah diterjemah). Apabila diteliti, emel tersebut telah banyak diforwardkan kepada ramai orang dan mendapat respon yang sungguh pelbagai dan banyak pastinya. Dan apabila diamati lagi, didapati terdapat banyak weblog yang menerbitkan artikel berkenaan dengan pelbagai sudut pandangan yang berbeza.

Namun, masih kita tercari-cari siapa tuan punya asalnya artikel ini. Setakat yang dapat kita capai adalah ia merupakan terjemahan yang dilakukan oleh H. Maaruf Bin Hj Abdul Kadir (guru besar berkebangsaan Malaysia) dari Massachuset University, Amerika Syarikat yang kemudiannya dikutip oleh saudara Chappy Hakim untuk dikongsikan kepada ramai.

Baiklah, di sini dinyatakan terlebih dahulu bahawa kita hanya berniat untuk berkongsi maklumat dan mencambah pengetahuan, idea dan pengalaman. Kita lebih suka melihat sesuatu itu dari kaca mata yang indah dan positif. Namun jika terdapat teman-teman yang terlihat sesuatu yang berbeza, silakan untuk berkongsi komentar.

Siapa sebenarnya Dr. Stephen Carr Leon ini masih belum kita ketahui jawapannya. Jikalau ada yang sudah menemukan jangan lupa khabarkan pada kita ya. Tapi inilah dia serba ringkas intipati utama yang dinyatakan di dalam tesis tersebut. Tesis PhD yang dikhabarkan mengambil masa lapan tahun ini melibatkan pengumpulan data berkenaan pemakanan, pendidikan anak-anak sebelum dan selepas kelahiran, dan lain-lain yang menjurus kepada kualiti hidup.

1. Persiapan awal ketika ibu mengandung. Menurut Dr. Stephen, di negara Israel perkara utama yang sering dilakukan oleh seorang ibu yang mengandung ialah menyanyi dan bermain piano. Kemudian kedua-dua bakal ibu dan bapa tersebut akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah matematik tersebut bersama-sama. Bagi mereka, perbuatan mereka itu bertujuan untuk melatih otak anak yang bakal dilahirkan dengan harapan anak tersebut akan menjadi genius apabila dewasa kelak. Yang lebih menarik ialah aktiviti-aktiviti tersebut diteruskan sehinggalah anak tersebut dilahirkan.

Di samping itu, pemakanan bagi seorang ibu mengandung di Israel amat terkawal di mana mereka gemar memakan kacang badam dan kurma bersama susu. Menu bagi makan tengahari atau malam pula ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang. Daging ikan dikatakan sungguh baik untuk perkembangan otak, manakala kepala ikan pula mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak di dalam kandungan. Selain itu, seperti sudah menjadi suatu kewajipan bagi ibu-ibu yang mengandung untk mengambil pil minyak ikan sebagai makanan tambahan.

2. Pemakanan. Dr. Stephen kemudian menyentuh tentang menu utama masakan (makanan) di Israel. Masyarakat Yahudi di sana gemar memakan isi ikan (fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama di meja makan jika sudah ada menu ikan. Campuran daging dan ikan dikatakan tidak elok dimakan bersama. Sementara itu, salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutamanya badam. Mereka juga akan memakan buah-buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran atau melakukan sesuatu yang memerlukan kita untuk berfikir.

3. Pendidikan pra sekolah (tadika). Antara perkara utama yang diambil perhatian berat ialah pemakanan anak-anak. Ianya cukup dikawal. Kanak-kanak ini akan diberi makan buah-buahan bersama kacang badam dan kemudiannya mengambil pil minyak ikan (code oil lever). Menurut Dr. Stephan melalui pengamatan beliau, kebanyakan kanak-kanak Yahudi boleh memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris. Kanak-kanak ini juga dilatih bermain piano dan violin. Malahan ini adalah suatu kewajipan. Bermain musik dan memahami nota-notanya akan dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak. Para saintis Yahudi juga percaya gegaran muzik dapat melakukan stimulate pada otak (semacam senaman untuk otak).

4. Pendidikan rendah (darjah 1 hingga darjah 6). Mata pelajaran yang diberikan keutamaan utama pada tempoh ini ialah matematik dan sains. Subjek matematik yang diajarkan adalah berkonsepkan perniagaan. Selain itu, aktiviti sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka. Aktiviti sukan yang diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari. Aktiviti-aktiviti seumpama ini akan dapat melatih otak untuk fokus kepada sesuatu perkara di samping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.

5. Pendidikan menengah. Pada peringkat ini para pelajar akan ditekankan dengan mata pelajaran sains. Mereka digalakkan untuk mencipta produk-produk baru yang pada kebanyakan waktunya kelihatan tidak logik dan lucu, tetapi tetap diteliti dengan serius apatah lagi sekiranya produk tersebut berupa senjata, bahan perubatan dan kejuruteraan. Idea itu kemudiannya akan dibawa ke institusi tinggi di Politeknik dan Universiti.

6. Pendidikan tinggi (universiti). Perniagaan adalah bidang pengajian utama dalam sistem pendidikan tinggi di Israel. Mereka begitu agresif dan serius mereka tentang perniagaan. Sesuatu yang sangat menarik ialah, para mahasiswa di tahun akhir pengajian dikehendaki menjalankan sebuah projek secara berkumpulan (10 orang pelajar setiap kumpulan) yang hanya akan lulus sekiranya mereka dapat memperolehi keuntungan sebanyak $US1 juta melalui projek tersebut! Sungguh memeranjatkan.

Di New York, terdapat Dewan Perniagaan Yahudi yang sedia membantu bangsa Yahudi yang berminat untuk menjalankan perniagaan jika mereka mengemukakan idea yang bernas. Pihak jawatankuasa pertubuhan tersebut akan memberikan pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatankuasa tadi akan bekerjasama untuk memastikan perniagaan mereka menurut landasan yang betul. Dengan yang demikian, maka lahirlah Starbuck, Dell Computer, CocaCola, DKNY, 20th Century, Warner Brothers (WB), Levis, Dunkin Donut dan beratus perniagaan atau jenama ternama di bawah naungan Dewan Perniagaan Yahudi.

7. Cara beribadah. Dikatakan salah satu cara orang Yahudi beribadah ialah dengan menggoyangkan kepala mereka. Menurut mereka perbuatan tersebut dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen di kepala. Di sini Dr. Stephen telah cuba membandingkan ritual agama lain seperti Islam yang mana aktiviti yang terdapat dalam ibadah utama mereka (solat) juga banyak melibatkan pelakunya menundukkan kepala yang mana perbuatan tersebut juga dapat mensimulasikan otak supaya bertambah aktif. Masyarakat Jepun juga sering menunduk-nundukkan kepala dan ianya sebagai adat.

8. Tabiat merokok. Di Israel, merokok adalah taboo. Sesuatu yang tidak disukai, pelik, dijauhi, di luar tabiat biasa. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan bahawa nikotin yang terdapat pada rokok dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada gen. Ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yang cacat otak (bodoh atau lembab). Namun ironinya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah bangsa Yahudi sendiri. Hurmm...

Dr. Stephen juga menambah dengan mengatakan bahawa merokok membawa dan melahirkan gen atau keturunan yang bodoh. Beliau membandingkan keadaan di antara Singapura dan Indonesia terhadap tabiat merokok. Hasil dapatan beliau antaranya ialah harga sekotak rokok di Singapura pada tahun 2005 ialah $US7, manakala harga sekotak rokok di Indonesia pula ialah $US0.70!!! Lalu apabila perbandingan dari segi kemajuan negara, rakyat, taraf pendidikan, teknologi dan sebagainya dilakukan menunjukkan perbezaan yang sangat ketara.

Justeru, setelah meneliti ringkasan tesis Dr. Stephen ini kita dapati bahawa semua tabiat dan sistem yang dilaksanakan oleh masyarakat Yahudi di Israel seperti mana yang dinyatakan dalam tesis beliau itu tidak saling berbeza dengan apa yang dianjurkan oleh Islam, oleh Al-Quran, oleh Hadith Rasulullah SAW. Malah ia telah lebih awal dianjurkan dan telah pernah dilaksanakan dan telah pernah melahirkan generasi yang begitu gilang gemilang.
Lantas, apa salahnya dengan umat Islam sekarang ini!? Tepuk dada, tanya hati, jawablah dengan akal fikiran, berfikirlah dengan berlandaskan iman.

Friday, January 23, 2009

Boikot: Satu Garis Panduan

Sedang kita ini asyik mengajak teman-teman berboikot, rasanya perlu kita cerita sedikit berkenaan "Boikot" ini. Boikot biasanya akan kedengaran apabila terpampang isu-isu sensitif di dalam masyarakat dan ianya menjadi satu amalan kebiasaan dalam menunjukkan bantahan terhadap sesuatu perkara. Berkesankah kempen boikot ini?

Sebenarnya ia (boikot) bukanlah amalan biasa bagi masyarakat di Malaysia kerana boikot ini memerlukan suatu kekuatan kesatuan yang hebat dan luar biasa. Mudah cerita, masyarakat perlu bersatu. Jawapan untuk soalan di atas tadi ialah BERKESAN. Kenapa kita katakan sedemikian sebab memang telah dibuktikan dan malahan terdapat sejarah dalam Islam sendiri telah membuktikannya (akan kita cerita di pertengahan entri kemudian). Namun perlu diingat, faktor penting dalam memboikot iaitu, BERSATU.

Namun masih terdapat beberapa persoalan lain lagi yang menjadi tanda tanya bila berbicara tentang isu boikot ini. Berjayakah kempen boikot? Apa kesan kepada yang diboikot? Sekiranya tanda tanya ini tiada jawapan, maka berbaloikah memboikot? Untuk merungkaikan persoalan-persoalan ini, maka kepada sesiapa sahaja yang menganjurkan kempen boikot, mestilah meletakkan matlamat dan sasaran kempen. Sekiranya MATLAMAT dan SASARAN tiada dalam agenda kempen, maka kempen yang dilancarkan hanyalah seperti 'melepaskan batuk di tangga'.

Hmm, sebelum kita pergi lebih lanjut tentang matlamat dan sasaran ini (yang disedut dari blog seorang teman, hee..) apa kata mari kita renung kembali sejarah boikot dalam Islam. Waktu itu mungkin belum ada istilah boikot ini pun, namun ianya sangat berjaya atas kesatuan umat Islam yang dominan waktu itu di Madinah. Pada ketika awal ketibaan Nabi Muhammad dan kaum Muhajirin selepas peristiwa Hijrah, baginda mendapati ekonomi di Madinah pada ketika itu dikuasai oleh bangsa Yahudi walau pun jumlah mereka minoriti sebenarnya.

Abdul Rahman bin Auf, salah seorang sahabat yang terkenal sebagai usahawan yang kaya tapi dermawan telah menyewa sebuah telaga air di Madinah (keperluan air di kawasan tanah arab merupakan keperluan utama), namun dengan harga sewa yang cukup mahal dan dikenakan syarat yang ketat iaitu hanya boleh berniaga pada hari sabtu sahaja dalam seminggu. Namun begitu, apa yang dibuat oleh Abdul Rahman bin Auf, Nabi Muhammad dan para sahabat ialah menyeru umat Islam yang sememangnya dominan (ramai) waktu itu bersatu untuk hanya membeli air dari telaga Abdul Rahman bin Auf sahaja. Maka berduyun-duyunlah masyarakat Islam Madinah membeli air pada hari Sabtu dari telaga Abdul Rahman bin Auf dengan banyak bagi simpanan selama seminggu. Dan begitulah seterusnya, sehingga akhirnya tidak sampai tempoh 2 tahun apabila bangsa Yahudi tidak dapat bertahan lagi kerana tidak ramai pembeli air di telaga mereka dan akibatnya semua telaga air dimiliki oleh orang Islam dan ekonomi Madinah dikuasai oleh orang Islam.

Lihat, hebat bukan sejarah kesatuan umat waktu itu!? Tidak cukup dengan itu, kita bawakan contoh di zaman moden kini apabila kerajaan Perancis memberikan komen campur tangan terhadap isu Tibet dan dasar kerajaan China, menyebabkan kerajaan China mengambil tindakan memboikot pasaraya Carrefour (milik Perancis) di China selama 3 hari. Hasilnya... pasaraya Carrefour di China kosong selama 3 hari tersebut!!! Akibatnya kerajaan Perancis terpaksa mengeluarkan kenyataan maaf berhubung perkara tersebut.

Jadi, bagaimana teman-teman? Ini sekadar sedikit misalan yang kita kongsikan. Ingin memboikot? Baiklah, kembali kita kepada matlamat dan sasaran dalam memboikot agar bagi mereka yang ingin turut sama memboikot ini nanti lebih jelas dan mampu memahamkan yang lain pula untuk sama-sama memboikot. Ingat... BERSATU.

Boikot Perlu Ada Matlamat dan Sasaran

Kita semua pernah mendengar kempen memboikot produk Amerika Syarikat (AS), malah kita juga pernah mendengar kempen memboikot produk Belanda beberapa purnama lalu (gara-gara "Fitna" yang dihamburkan) dan juga pernah ada kempen memboikot produk Denmark. Namun kalau diperhatikan, ia hanyalah 'hangat-hangat tahi ayam' lebih-lebih lagi apabila tidak adanya matlamat dan sasaran.

Apa matlamat kempen boikot? Melumpuhkan? Melemahkan? Sekiranya melumpuhkan, sanggupkah kita melihat pekerja-pekerja diberhentikan. Maka pada penulis matlamat utama kita adalah melemahkan. Sekiranyanya melumpuhkan menjadi matlamat, perlulah ada alternatif kepada pekerja yang bakal diberhentikan kerja. Contohnya, dahulu kita pernah mendengar boikot 'Coca Cola', maka kerajaan Iran mencari alternatif memasarkan produk Zam-Zam Cola. Barulah matlamat melumpuhkan berjaya. Sekiranya tidak berupaya menyediakan alternatif, matlamat melemahkan menjadi fokus utama.

Apa sasaran kempen? Saif al-Mansur dalam blog beliau telah membahagikan sasaran boikot ini kepada dua pengertian, iaitu :-

Pertama, sasaran produk. Apakah produk yang prioriti (utama) untuk diboikot terlebih dahulu maka selebihnya menjadi alternatif. Contoh, sekiranya ingin memboikot Utusan Malaysia, mestilah dalam masa yang sama Berita Harian menjadi pilihan alternatif. Yang penting di sini ialah sasaran berjaya dilumpuhkan. Sekiranyanya ingin memboikot Intel, maka AMD menjadi pilihan alternatif, atau jika ingin memboikot McDonald, maka KFC (di Malaysia KFC dimiliki penuh oleh syarikat Muslim milik Johor Corporation) menjadi pilihan alternatif. Yang penting ialah sasaran berjaya dilumpuhkan. Kembali kita kepada kaedah usul "sekiranya tidak dapat semua, jangan tinggal semua".

Kedua, sasaran tempoh. Berapa lama tempoh boikot? 1 bulan, 6 bulan, setahun atau selama-lamanya? Tempoh boleh dijadikan senjata ugutan terhadap yang diboikot. Rasanya kalau betul-betul kempen boikot berjalan selama 6 bulan secara menyeluruh, pastinya matlamat yang kita bincangkan tadi berjaya, InsyaAllah. Apa yang penting di sini adalah sasaran tempoh dan ianya akan menjadi kayu ukur terhadap kejayaan kempen.

Oh ya, kalian digalakkan juga membaca tulisan berkenaan boikot dalam satu lagi aspek atau lebih tepat produk lain yang kita jarang-jarang nak perasan. Menarik! Sangat infomatis. Terima kasih kita kepada abang FT @ Faisal Tehrani. Klik di sini.

Selamat Memboikot. Hancur Zionis!!! Aman Palestin...

Kredit kepada Saif al-Mansur (http://islamreturn.blogspot.com)

Mari Memboikot Secara Tegas & Bijak

Wahai sahabat-sahabat Blogger Mujahidin ku sekalian... Ayuh, marilah kita sama-sama melancarkan 'Boikot Berstrategi' di blog masing-masing seperti mana berikut...

BOIKOT BERSTRATEGI AKAN MENUMPUKAN KEPADA 7 PRODUK
MATLAMAT KEMPEN IALAH 7 PRODUK TERSEBUT BERJAYA DILUMPUHKAN DALAM MASA 6 BULAN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pembalas. AllahuAkbar!!!

Friday, January 09, 2009

Apa Sudah Jadi Dengan Mesir!!?? Al-Azhar!!??

Sungguh! Benar-benar membentak dan terbakar hati, jiwa dan diri kita ini dengan gelagat "celaka" Mesir yang dikepalai oleh Hosni Mubarak. Universiti Al-Azhar pula terus senyap sepi tidak kedengaran sebarang suara mereka. Apa sudah jadi dengan ilmuwan-ilmuwan Islam yang disegani dan dihormati dunia di sana? Buta hati? Mati suara? Muslim apakah ini? :@


Ramai yang terus mengutuk Israel…malah majoriti penduduk dunia, hatta penduduk AS yang kerajaan mereka menyokong penuh rejim tersebut. Pelbagai alasan tidak logik yang dikemukakan rejim Zionis di media-media barat tidak mendapat imbangan dari kenyataan di pihak Palestin sendiri. Malangnya, sudut yang terlindung di dalam siri ‘holocaust’ terhadap rakyat Gaza ini amat nyata. Rejim Husni Mubarak yang merupakan rakan utama Israel di dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dibiarkan sahaja.

Demo yang diadakan di negara-negara Islam langsug tidak menyentuh tentnag Mesir. al-Azhar dan para ulamanya diam membisu di atas dosa sang Presiden. Mufti Mesir juga hanya mampu melihat rakyat Gaza dibunuh dan disembelih.Mubarak bukan sekadar bersekongkol dengan Israel membunuh kanak-kanak dan wanita Palestin, malah menangkap dan membantai rakyatnya sendiri yang terlibat di dalam demo mempamerkan solidariti bersama rakyat Gaza.

Selagi Mubarak degil dan bongkak tidak mahu membuka pintu sempadan Gaza-Mesir di Refah, selagi itulah bantuan kemanusiaan tidak akan dapat dibawa masuk. Maknanya makanan akan kehabisan, hospital akan kehabisan bekalan ubatan, rakyat Gaza akan mati secara beramai-ramai!!!

Mubarak hanya tersenyum dan puas hati, kebenciannya terhadap rakyat Palestin dapat dipuaskan. Kemenangan HAMAS yang telah membawa kesan domino kepada kebangkitan rakyat Mesir telah berjaya diredakan. Mubarak bagaikan ingin mengajar dunia dan rakyatnya sendiri…inilah padahnya memilih arus politik Islam, inilah padahnya jika mencabar status-cuo para diktator di bumi Arab.

Mubarak adalah syaitan besar…syaitan yang dilindungi oleh para ulama pengampu dan hipokrit. Demo di hadapan kedutaan Mesir di seluruh dunia amat perlu memaksa mereka membuka pintu sempadan Refah. Memo kepada negara-negara OIC untuk menekan Mesir juga diperlukan. Tekanan politik agar Mubarak membuka pintu sempadan dengan negara-negara Islam memanggil pelajar-pelajar mereka juga perlu….

Moral Mesir dan al-Azhar akan jatuh jika para pelajar dari luar negara beramai-ramai meninggalkan bumi Mesir. Badan-badan fatwa dan para ulama di Malaysia juga mesti berani menyampaikan kata dua kepada Mubarak dan al-Azhar di dalam isu ini.Ini bukan isu main-main, rakyat Gaza sedang menantikan detik-detik kematian…doa dan kutukan sahaja tidak cukup.

Mubarak perlu diajar! :#

Sumber: palestinkini

.

Wednesday, January 07, 2009

Siapa Yang Harus Ditakuti? Allah? Atau Hantu?

Sedang kini saudara-saudara seagama kita di bumi Palestin terus dianiaya, ramai pula saudara-saudara seagama kita di bumi Malaysia yang tidak tahu kisahnya. Paling-paling, mereka melihat, membaca atau mendengar di berita, dan kemudian mengeluh, men"sial"kan, men"celaka"kan dan menyumpah marah. Cukupkah sekadar itu? Tapi ini sudah dikira agak baik berbanding segolongan saudara seagama kita yang asyik dengan dunia masing-masing, lagi-lagi lebih seronok menonton dan mengikuti perkembangan jalan cerita filem-filem dan drama-drama "hit" terkini.

Kita tidak-lah pasti jua, dari mana dan bagaimana trend cerita-cerita berunsur mistik dan ghaib ini kian berkembang di Malaysia. Yang pasti masyarakat kita memang gemar kisah-kisah yang sedemikian, walaupun sebenarnya mereka ketakutan. Haha, lucu pula bila difikirkan.

Namun yang pasti, orang-orang yang menggelarkan diri mereka anak seni ini perlu memikirkan kembali "kesenian" mereka itu. Apa? Seni itu untuk menakut-nakutkan orang? Tidak kisahlah dari penggiat seni mahupun kepada pengusaha seni lakonan itu sendiri, termasuklah media-media massa tempatan. Di saat pihak kerajaan ingin menumpukan kepada pembangunan insan cemerlang, unsur-unsur karut dan syirik ini pula dijajankan kepada pemikiran anak-anak muda khususnya dan masyarakat amnya.

Lantas terpanggil kita untuk berkongsikan satu penulisan seorang sahabat berkenaan perkara ini. Agak panjang, namun tidaklah pula terlalu panjang. Namun yang paling bernilai ialah isi-nya. Jadi kita menyeru kepada teman-teman semua agar dipanjang-panjangkan perkara ini iaitu, "Hentikan Budaya Menakut-nakutkan!".

HENTIKAN BUDAYA MENAKUT-NAKUTKAN
Oleh: Syed Mikael Rizal Aidid

Malam Jumaat yang penuh kemuliaan, kerana yang mengiringinya adalah hari teragung mingguan untuk umat Islam, semakin dicemari. Dari momokan mitos, cereka layar panggung hinggalah ke kaca televisyen, sentimen malam Jumaat sering disalah ertikan. Malam barakah yang sepatutnya dihiasi dengan amal ibadah, yasin dan tahlil, tampak lebih mesra di kalangan umat Islam khususnya Melayu sebagai malam yang seram lagi menakutkan.

Di mana asalnya malam Jumaat dikaitkan dengan mitos seram dan ngeri kita masih tidak tahu apa pencetusnya. Tapi apa yang pasti, bergenerasi lamanya, mungkin datuk, nenek kita telah menjadikan cerita-cerita seram berkaitan malam Jumaat ini sebagai mekanisma untuk menakut-nakutkan kita yang nakal semasa kecil dulu. Sedar atau tidak, cerita-cerita ini semakin mengakar dalam hidup orang Melayu, hatta hendak melintas pokok besar pun masih hendak meminta izin pada ‘datuk’ yang menjaganya.

Syarikat-syarikat produksi filem yang mengeluarkan lambakan cerita-cerita ‘hantu’ dan seram kepada syarikat televisyen perdana juga meyumbang kepada budaya negatif ini. Dari cerita klasik awal ‘Pontianak’ pada tahun-tahun 50-an hinggalah kepada kisah pontianak yang ‘disirikan’ mutaakhir ini menggambarkan kepada kita akan sambutan hangat penonton kepada cerita-cerita yang mempunyai genre sedemikian. Menambahkan lagi perisa dan rencah kepada ‘penghayatan’ cerita ini, sudah tentu pastilah slotnya ditayangkan pada malam Jumaat, malam yang kononnya amat ‘misteri’ bagi penggemar-penggemar alam mistik. Amat malang sekali apabila malam yang sepatutnya diisi dengan fadhilat kebesaran hari Jumaat, siri-siri diskusi ilmiah dan slot-slot tazkirah, diganti dengan pengisian mitos dan melalaikan.

Islam tidak pernah menafikan akan kewujudan makhluk halus dan alam ghaib. Ia adalah prasyarat utama dalam rukun Iman, apatah lagi disebut dalam lembaran awal al-Qur’an sebagai seruan mengimani kewujudan Malaikat, Jin, Syurga dan Neraka yang tergolong di dalam perkara-perkara yang ghaib dan kita diperintahkan wajib mempercayai kesemuanya. Islam dari awal lagi telah meletakkan garis yang jelas untuk kita percaya akan kewujudannya dan dalam masa yang sama melarang kita takut kepadanya. Ketakutan kita yang paling hakiki hanyalah mutlak kepada Allah S.W.T. Cuma apa yang dilarang oleh Islam adalah sistem pengajaran yang menyogokkan minda kanak-kanak khususnya pelajar dengan ketakutan yang tidak berasas.

Antara Ghaib & Mistik

Minat yang mendalam kepada perkara ghaib ini jelas berlaku di kelas-kelas agama di sekolah, bila membincangkan tentang bab alam ghaib dan mahklus halus, yang menjadi perhatian pelajar adalah bagaimana rupa bentuk makhluk yang mengerikan itu (khususnya jin dan syaitan) dan bukannya kepada hal-hal yang memberitahu kenapa Allah S.W.T. menjadikan ‘mereka’ dan perihal bahawa ‘mereka’ juga wajib beriman kepadaNYA. Kecenderungan inilah juga yang dipercayai menjadi penyelesaian mudah bagi guru-guru menayangkan ‘sajak kematian’ kepada pelajar naif semuda 7 tahun di beberapa buah sekolah baru-baru ini. Pelajar-pelajar yang masih belum mampu menilai apa yang tersirat dalam mesej video ini, hanya ditakut-takutkan dengan teknik grafik yang menggambarkan mayat yang sedang dihisab dan diseksa di dalam kubur.

Kesan langsung akibat pendidikan dan rangka bina kehidupan seseorang yang selama ini diisi dengan elemen-elemen seram dan tahyul, tidak dapat tidak akan melahirkan generasi yang penakut. ‘Ketakutan buatan’ inilah yang menjadikan generasi muda kita pada hari ini seakan takut mencuba, takut gagal, takut ke depan, hatta mahu memberi cadangan pun takut juga. Generasi muda yang penakut ini, hanyalah generasi yang berani bercakap, dan bila digertak mereka akan pasti lari berantakan. Generasi muda yang penakut adalah generasi yang nampak tegap fizikalnya tetapi emosi dan spiritualnya nipis senipis kulit bawang. Generasi penakut ini telah dibiasakan dengan takut kepada cabaran dan sentiasa mahukan kemewahan dalam hidup semata-mata. Generasi inikah yang kita mahu menjadi pelapis kepimpinan kita pada masa akan datang?

Justeru, budaya memomokkan anak bangsa kita dengan ketakutan wajar dihentikan segera. Ia harus bermula dengan kesedaran ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan ketegasan dan bukannya dengan momokan ketakutan dan tahyul. Pihak Kementerian Penerangan juga wajar mengeluarkan arahan tegas agar setiap syarikat televisyen menghentikan menyiarkan tayangan berunsur seram pada setiap malam Jumaat demi menghormati hari yang mulia itu. Arahan ini penting agar timbul rasa tanggungjawab kepada pengusaha syarikat televisyen terhadap setiap satu program yang disiarkan. Tidak dinafikan ‘hit’ atau respon penonton muda terhadap rancangan-rancangan seperti ini memang tinggi, serta slot iklan di celah-celah cerita seram itu juga menyumbang kepada ‘pengayaan’ dana syarikat-syarikat televisyen gergasi negara. Sedarlah, setiap satu saat tayangan yang sarat dengan budaya negatif ini akan memberi kesan langsung kepada pembentukan akhlak generasi muda kita.

.

Saturday, January 03, 2009

A Tribute To Our Brothers & Sisters in Palestin


Rintihan dan tuntutan umat Islam Palestin :
"Jikalau kami gugur syahid, dan anda sekalian terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut dari Allah di atas kelembapan anda semua. Kami tidak akan redha terhadap kelesuan dan kebisuan anda semua. Kami tidak akan memaafkannya..."

DUBAI, 31 Dis (Bernama) - Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum mengarahkan agar semua bentuk sambutan tahun baru di negara itu dibatalkan sebagai menghormati nasib rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang menjadi mangsa serangan Israel. Sebaliknya Dubai akan menyambut kedatangan 2009 dalam keadaan suram sebagai tanda perpaduan dengan rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza, demikian menurut media rasmi di sini. Hampir 400 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak Sabtu lepas apabila Israel melancarkan serangan udara ke wilayah itu.

Palestin, Januari 2, 2009 : 400 Maut 2000 Cedera

Serangan terbaru oleh pesawat pejuang Israel awal pagi ini memusnahkan bangunan Parlimen Palestin serta dua bangunan kerajaan lain dan 25 penduduk awam dilaporkan cedera. Rejim Zionis turut melepaskan tembakan ke atas kedudukan Hamas di tepi laut bagi melumpuhkan kekuatan mereka. Letupan kuat turut menggegarkan kawasan penyeludupan bawah tanah di kawasan sempadan Gaza dan Mesir.

Serangan terbaru itu turut mengorbankan seorang pemimpin kanan Hamas, Nizar Rayan apabila rumahnya di Jabaliya dibom oleh tentera Zionis. Arwah merupakan pegawai tertinggi Hamas yang terbunuh sejak Israel melancarkan serangan pada Sabtu lalu.

Sementara itu, rumah pemimpin Ezzedin al-Qassam iaitu sayap kanan Hamas, Abu Anas Chabana turut menjadi sasaran tentera Israel, malam tadi. Serangan itu mengorbankan tiga penduduk Palestin termasuk seorang wanita berusia 35 tahun dan mencederakan lapan yang lain. Bagaimanapun Abu Anas tiada di rumah ketika kejadian.

Pegawai Hamas menganggarkan seramai 399 orang terbunuh setakat ini dengan lebih 180 merupakan orang awam. Hampir 2,000 lagi cedera dalam kekejaman tentera Yahudi ini yang dilengkapi peralatan peperangan canggih berbanding pejuang Palestin.

Tentera Israel semalam turut menambah jumlah tentera di sempadan Gaza sebagai langkah berjaga-jaga untuk melancarkan serangan darat dalam waktu terdekat. Mereka turut dilengkapi dengan kereta kebal dan pelancar roket canggih dan dilihat berlegar-legar di luar Gaza dan komander mereka bersiap sedia untuk melancarkan serangan pada bila-bila masa.

Di Malaysia???

.

Friday, January 02, 2009

Selamat Tahun Baru! Apa Yang Baru???

Ketibaan tahun baru saban tahun pasti disambut dengan meriah dengan penganjurannya sehingga ke peringkat nasional. Detik-detik ke penghujung masa tahun yang lama akan dihitung untuk ditinggalkan sekaligus mengira sama detik-detik ketibaan masa tahun yang baru. Semua yang hadir di tempat kejadian terutamanya pasti merasa bahang dan waktunya. Semua bagaikan tidak sabar menanti detik jam 12.00 tengah malam 31 Disember. Bila jam tiba ke 12.01 minit pagi semua bersorak gembira bagai menyambut kemenangan.


Kemenangan? KEMENANGAN APA? SIAPA yang menang sebenarnya? Tapi yang lebih utama dari itu ialah, UNTUK APA? Hmm… :t

Begitulah, saban tahun sambutan tahun baru diadakan untuk menyambut ketibaan tahun baru, membilang setiap detik ke tahun baru. Hahaha… kasihan sungguh. Ada apa ya dengan “mereka” ini…

Kita cuba mengimbas kembali… Tempoh hari tiba Awal Muharram 1430H “beramai-ramai” orang berkumpul di masjid dan surau membaca doa akhir tahun dan awal tahun bermunajat kepada ALLAH, TUHAN YANG MAHA MULIA DARI SEGALA DULI-DULI YANG ADA. Bagaimana pun bila tiba Tahun Baru 2009 “bersesak-sesak” orang berkumpul di dataran, dewan, stadium, hotel, pusat hiburan, dan lain-lain lagi tempat berhibur dan bersuka ria hingga lewat malam dan akhirnya mengira detik-detik ketibaan tahun baru, lalu bersorak dan menjerit gembira dengan letupan bunga api “sekejap” yang bernilai beribu-ribu RM untuk setiap letupan.

Ahh!!! Kenapa ini!? Apa semua ini?? :#


Sungguh menjengkelkan bagi kita. Kita sungguh tidak boleh terima keadaan ini. Kenapa ia begitu sukar untuk membawa anak-anak atau diri kita sendiri (paling tidak) untuk meluangkan masa tidak sampai 1 jam membaca doa akhir tahun, solat maghrib berjemaah, dan membaca doa awal tahun kemudiannya. Tapi! Boleh sahaja “hendak seribu daya” untuk bawa bersama-sama keluarga dan ajak kawan-kawan lagi untuk pergi menyambut tahun baru, sanggup tunggu berjam-jam berdiri bersesak-sesak sehingga lewat malam. Pertimbangan apakah ini? Rasionalkah ia?

Oh… ada yang bilang, hendak baca doa awal dan akhir tahun tidak semestinya mesti ke masjid atau ke surau. Alah, ia bukan wajib lagi pun. Ini… alasan apakah ini!?? Guru mana yang ajar?

Astaghfirullah… Kalaulah Allah berkehendakkan musibah dan bencana kepada negara Malaysia dan rakyat yang rata-ratanya muslim ini, pastilah Dia sudah punya alasan yang sangat banyak dan kukuh. Subhanallah… betapa sayangnya Allah kepada kita semua ini. Di tengah penderitaan saudara muslim kita di bumi Palestin dihenyak teruk dan dianiaya, umat Islam di Malaysia yang diiktiraf sebagai negara Islam terbaik di dunia masih lalai, leka, alpa, lupa, cuai, dan mampu membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit hanya semata-mata untuk menyambut tahun baru yang penuh dengan kebencian Allah di dalamnya.

Aduh… teman-teman, kenapa ya dengan masyarakat muslim Malaysia? Islam yang bagaimanakah kita semua ini? Terlalu sedih dan sakit hati dan jiwa kita ini. Ingin sangat kita melaung-laung, memberi peringatan dan menyedarkan saudara-saudara muslim kita yang lain ini. Tapi, siapalah kita. Kita ini hanya rakyat biasa yang hanya biasa-biasa sahaja. Kita bukan PERDANA MENTERI, juga bukan MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI BAHAGIAN AGAMA ISLAM, bukan MENTERI BESAR, bukan juga MUFTI, apatah lagi SULTAN atau AGONG. Kita bukan siapa-siapa. Kita ini hanyalah HAMBA-NYA.

.

Tuesday, December 02, 2008

Melayu Pada Nama Atau Bahasa

Kembali kita ke persada arus sosialisasi negara...

Mutakhir ini, ramai kawan-kawan yang asyik menghangatkan isu bahasa Melayu, namun ramai juga yang seperti tidak ambil port. Bagi yang menghangatkan itu ada yang mempertahankan dasar yang digunakan sekarang, tapi sebahagiannya lagi bagai gelombang mempertahankan 'ketuanan' bahasa Melayu. Kita?

Oh ya, sebelum terlupa hendak dikhabarkan yang mulai entri ini dan seterusnya "kita" yang digunakan pada kebanyakan tempat dalam mana-mana catatan blog adalah merujuk kepada penulis blog ini. Kini kita tidak lagi menggunakan kata ganti nama "saya". Kenapa? Haha, mungkin ini akibat pengaruh besar kerap membaca novel-novel sastera berunsur sejarah. Rasa sangat tertarik dengan nilai dan tahap penggunaan bahasa Melayu suatu ketika dahulu. Sungguh tinggi dan hebat peradaban bahasanya! :o

Nah! Pasti jelas lagi terang kita ini di pihak yang mana bukan? Namun kita bukanlah orang yang arif atau ahli dalam bidang ini. Namun juga bukan kita ini orang yang dungu lagi boleh diperhambakan.

Kita ini orangnya tidak langsung racist apatah lagi untuk berhasat dengki dan iri. Kita ialah warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu yang tinggalnya di bumi dan rantau Melayu tetapi hidup sejahtera dengan pelbagai ras dan bangsa lainnya yang sudah berabad-abad memakmurkan sama bumi dan rantau Melayu ini. Jadi di sini ingin kita berkongsi sesuatu yang perlu ramai teman-teman tahu bahawa sebenarnya tidak pernah ada bangsa Malaysia yang inginkan bahasa lain mendidik anak-anak bangsa kita ini semua melainkan bahasa ibunda masing-masing.

Mari... Kita ajak semua untuk baca sebentar berita di bawah ini yang kita kutip dari akhbar News Strait Times bertarikh 1 November 2008 Masihi

Vernacular schools prefer Maths, Science in mother tongue


NST, NOV 1, JOHOR BAHRU: Most Chinese and Tamil schools want Mathematics and Science to be taught in their mother tongue. This was what most parties from the schools who attended a recent round table meeting to discuss the use of English to teach the two subjects wanted.

Deputy Education Minister Datuk Dr Wee Ka Siong said that although most of them realised the importance of upgrading students’ command of English, they felt there were other means to do so. Schools too had taken efforts to increase the student’s command in the international language by having extra lessons, he added.

Speaking to reporters after launching the Malaysian National Union of Headmasters’ annual meeting here yesterday, Dr Wee said the ministry planned to increase the allowance of headmasters and assistant headmasters to attract more teachers to accept the positions. Vacancies in both positions were among the major problems faced by Chinese primary schools nationwide, he said, adding that the RM60 monthly allowance for assistant headmasters was too low.

“In addition to that, they have long working hours which is up to 4pm; they might as well give tuition to earn that,” he said, adding that it was also difficult to get teachers who were willing to be transferred.

On the shortage of Chinese-language teachers, Dr Wee said the ministry did not have enough lecturers to train new teachers and that since teachers training colleges were upgraded to university status there was competition among universities to get qualified lecturers. Dr Wee also said that it was not easy to hire lecturers from China to meet the demand as it was time-consuming to get them to familiarise with local terms.


Selesai membaca? Jadi apa perkiraan kalian? Yang kalian rasa? :t

.

Saturday, November 22, 2008

Take Five : Kerenah Orang Malaysia

Mari kita perhatikan beberapa siri kerenah masyarakat Malaysia dari pelbagai peringkat akhir-akhir ini. Betul atau tidak mereka ini? Lebih menyedihkan beragama Islam pula tu? Apa yang tidak kenanya? Mari kita sama-sama teliti...


1) Pakej Rangsangan Ekonomi RM7 bilion oleh Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Baik, kita mulakan dengan kisah TPM (our next PM?) dulu. Sebagaimana semua maklum bahawa Dato' Seri Najib telah mengumumkan (malah sudah dibentangkan pun dalam Parlimen) pakej ransangan ekonomi sebanyak RM 7 bilion untuk meningkatkan perbelanjaan tempatan tidak lama setelah dilantik menjadi Menteri Kewangan. (Untuk rujukan, sila klik sini)

Jadi apa masalahnya? Memang dia tidak bermasalah walaupun timbul kontroversi apabila pihak oposisi keluar dewan semasa pembentangan pindaan belanjawan sebanyak RM 7 bilion itu dibuat kerana tidak diberi peluang untuk mencelah. TAPI tahukah kita bahawa pada hari Barack Obama diumumkan sebagai Presiden AS yang baru, pada ketika itulah sejarah institusi Parlimen di negara Malaysia telah tercatit. Buat pertama kalinya cadangan berkenaan dasar kerajaan yang penting (oleh TPM dan Menteri Kewangan pula tu) telah ditolak oleh Parlimen. Ini bermaksud pindaan belanjawan RM 7 bilion itu tidak diluluskan oleh Parlimen. Malah tidak dibahaskan pun sebab tidak mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan. Habis kalau dah sebegitu, yang selama ni sibuk mencanang ransangan ekonomi sana sini tu buat apa? Untuk suka-suka sahaja ke? Perkara yang teknikal pun tidak diambil berat. Sudah berapa lama dalam Parlimen? Sudah berapa lama memerintah? Malu-malu...

2) Kerajaan Lim Guan Eng (Pulau Pinang) ditegur silap eja 'Amar'

Ini kisah kedua yang lebih memalukan. Begini, Datuk Dr Hilmi Yahaya (Ahli Parlimen Teluk Bahang-UMNO) telah menegur kerajaan negeri Pulau Pinang kerana silap mengeja perkataan 'Amar' pada kain rentang Pakatan Rakyat yang dipasang di seluruh negeri itu sempena sambutan Hari Raya baru-baru ini. (Klik sini untuk rujukan)

Kesilapan ejaan tersebut adalah pada ayat 'Amar Makruf Nahi Mungkar' - yang bermaksud 'menyuruh kebaikan dan menjauhi kejahatan'. Sebaliknya, kain rentang bertulis 'Amal Makruf Nahi Mungkar'. Menurut Hilmi, 'amal' bermaksud 'melakukan' manakala 'amar' bermaksud 'menyuruh'. Oleh itu, kesilapan ejaan tersebut telah memberi maksud yang berbeza bagi 'Amar Makruf Nahi Mungkar'. Beliau juga mempersoalkan sama ada Lim - seorang bukan Islam - layak menggunakan ayat al-Quran untuk merujuk kepada urustadbir negeri yang ditadbirnya. Hilmi berkata, ia merupakan ayat-ayat al-Quran untuk umat Islam dan oleh itu bertanya sama ada bolehkah ketua menteri Pulau Pinang itu menggunakan ayat-ayat tersebut. Sehubungan itu beliau meminta pihak berkuasa agama Islam supaya memperjelaskan isu tersebut. Hilmi juga menegurkan Lim kerana menyamakan urustadbirnya dengan Khalifah Umar Abdul Aziz, lalu meminta Lim membuktikan terlebih dahulu pentadbirannya sebelum dibandingkan dengan orang lain.

Jadi apa masalahnya? Aduh, bermasalah betul wakil rakyat seorang ini yang kononnya membela agama Islam lah ni sangkanya. Dia ini memang benar-benar tidak mengerti tentang uslub dan manhaj dalam berdakwah. Ingat jadi wakil rakyat boleh cakap apa sahaja ke? YB buatlah research sikit kalau dah tau tak tahu. Inilah dia orang politik jenis omongan tin kosong, habis semua hendak dipolitikkan. Kalau betul dia tahu cuba tunjukkan dalil atau nas qat'iey yang melarang orang bukan Islam menggunakan ayat-ayat Al-Qur'an atau menjadikannya sebagai hujah. Agama Islam adalah agama rahmat untuk seluruh alam, untuk semua orang dan semua bangsa. Islam bukan bersifat ekslusif untuk YB Hilmi dan bangsa 'Melayu'nya sahaja. Jatuh kredibiliti Islam...

3) Semanis Kurma di TV9

Yang ini tiada sumber yang boleh dipautkan (link) di sini, tetapi boleh rujuk kembali pada rancangan Semanis Kurma di TV9 pada episod lalu (18 November 2008). Sebenarnya niat asal untuk episod tersebut adalah elok, namun jika didalami lebih lagi ia sebenarnya telah merosakkan imej agama Islam terutamanya dalam konteks dakwah. Malu Islam. Jatuh maruah dan kredibiliti Islam. Bukan soal hendak menyembunyikan kebenaran, tetapi ini soal yang lebih besar dari pendedahan eksklusif semata-mata. Bagaimana kita hendak menarik minat orang bukan beragama Islam untuk menyukai dan memahami Islam apatah lagi memeluk Islam kalau yang didedahkan semuanya yang mengaibkan dan perkara yang buruk lagi terkutuk?

Sepatutnya ustaz dan ustazah (suami isteri) lebih arif dalam hal sebegini. Tidak pasti idea siapa sebenarnya (mungkin sekali idea produser untuk menarik perhatian penonton), tapi jika yang menonton itu masyarakat bukan Islam, agak-agak apa pandangan mereka? Sudah pasti jika mereka menonton, mereka bukan suka-suka (mungkin sudah ada sedikit tarikan terhadap Islam). Tapi bila kerap menonton pendedahan sebegini, bagaimana lah pula pertimbangan mereka kelak. Ini bukan soal uslub untuk dikorek-korek dan diselidik dalam-dalam sampai budak perempuan tu tak mampu nak jawab. Sefahaman saya (kalau salah tolong betulkan), nabi pun tak pernah mendedah-dedahkan maksiat orang Islam ke seluruh dunia. Kalau benar niatnya baik sekalipun, ia perlu dilakukan dalam bentuk hukuman sebagai pengajaran seperti yang dianjurkan oleh Islam. Baru orang belajar dan faham bahawa melakukan maksiat itu adalah gejala keruntuhan dan kerosakan akhlak yang teruk dan sangat dilarang dalam Islam. Benar-benar memalukan...

4) Potongan Tol 10% oleh PLUS

Ini berita yang agak baru. Beberapa hari yang lalu telah diumumkan penurunan kadar tol sebanyak 10% bagi lebuhraya PLUS dan ELITE (klik sini). Sekali baca memang baik berita ini. Namun, kalau dibaca dua, tiga, empat kali (kalau suka la) rasa tertipu dan menyampah juga dibuatnya. Manakan tidak, penurunan kadar tol yang diumumkan tersebut hanya diguna pakai di antara jam 12.00 tengah malam hingga 7.00 pagi. :# Apo kono nya ni woi?

Saya sendiri masih tidak faham akan rasionalnya atau sebab munasabahnya ia dilakukan sebegitu. Kenapa, nak galakkan rakyat Malaysia jadi burung hantu atau kelawar ke semata-mata hendak mendapatkan penurunan harga tol yang tak seberapa tu? Adakah pihak kerajaan mahu rakyatnya keluar memandu di tengah-tengah malam? Hm.. ini kempen menggalakkan kemalangan agaknya. :t Nampak gaya alamat ada lah kita (rakyat sekalian) balik kerja tengah malam dan pergi kerja sebelum Subuh. Itu kalau mahukan harga tol yang kurang beberapa ringgit lah. Hai... tak faham, tak faham...

5) Harga Minyak Turun ke RM 2.00

Ini satu lagi cerita yang tidak akan berkesudahan. Pada asalnya ia satu berita yang baik dan menggembirakan. Namun, begitulah hakikatnya di Malaysia sekarang ini (dunia juga), segala-galanya perlu dibaca lebih teliti. Tidak cukup untuk menerima bulat-bulat apa yang disiarkan di berita. (Klik sini untuk bacaan penuh)

Dulu kata lain, sekarang jadinya lain. Dulu katanya jika harga minyak dunia turun ke paras USD$65 setong harga minyak boleh turun kembali pada harga asal sebelum ianya dinaikkan iaitu RM 1.92, tapi sekarang? Itu pun kalau kita perasan lah (tapi ramai yang tak perasan sebenarnya), dulu masa harga minyak naik sekali dengan harga gas. Tapi bila turun, harga minyak saja yang turun, harga gas kat situ lah juga.

Namun yang paling buat diri ini terbakar ialah dengan selamba pak menteri seorang ni buat kenyataan yang kita rakyat Malaysia ni kena bayar cukai untuk kepada kerajaan untuk tujuan penurunan harga minyak yang berlaku ni sedangkan kerajaan sudah tidak perlu membayar subsidi minyak lagi dan terus mengumpul duit. Cuma bila dia buat statement yang tak straight to the point, jadi ramailah sangat orang yang tak perasan sebab dah suka sangat sebab harga minyak turun lagi! :@

"Shahrir berkata, walaupun selepas mengambil kira perolehan syarikat minyak dan operator stesen - masing-masing 19 dan 12 sen seliter - kerajaan masih boleh memperolehi keuntungan marginal bila harga di stesen RM1.92 seliter. Lagi pula, katanya, syarikat minyak dan operator stesen membayar kepada kerajaan dalam bentuk cukai. Jika harga minyak mentah kekal di bawah AS$60 setong, saya menjangka sekurang-kurangnya RM10 bila (akan dijimatkan)."

Tengok! Kerajaan siap boleh buat duit sampai RM10 bilion lagi. Untuk manfaat rakyat ke tu!? Hahaha... Marilah kita gelakkan diri kita sendiri kerana telah dipermainkan oleh pemerintah yang kita sendiri pilih. :r

.

Wednesday, November 19, 2008

Yang Menurut Perintah...

Bagi sesiapa yang biasa berurusan dengan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan pasti sudah biasa dengan frasa ini, "Yang Menurut Perintah". Ya, ia boleh didapati dalam mana-mana surat yang dikeluarkan oleh mana-mana jabatan atau agensi perkhidmatan awam. Berita mengenai kemorosotan perkhidmatan awam pasti bukan sesuatu yang baik tapi mungkin sudah agak biasa dan seperti 'tak kisah' bagi kebanyakan orang di Malaysia. Kenapa ya sebegitu? Adakah kerana kita sudah bosan? Atau sudah sedia maklum dan berpengalaman?

Sedikit sedutan dari berita yang dipetik dari Berita Harian...

KUCHING: Mutu perkhidmatan kakitangan penjawat awam di negara ini menjadi tanda tanya apabila Biro Pengaduan Am, Jabatan Perkhidmatan Awam terus menerima banyak aduan orang ramai mengenai hasil kerja mereka. Paling membimbangkan, jumlah aduan itu terus meningkat hampir tiga kali ganda sejak 2005. Pada 2005, biro itu menerima 2,707 aduan dan pada 2006 (3,397) manakala tahun lalu, meningkat kepada 5,347 kes. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata sehingga September tahun ini, 6,059 aduan direkod dan angka itu dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun ini. (Berita penuh klik sini)

Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan, secara keseluruhannya memang banyak yang perlu dipertingkatkan oleh penjawat kerajaan. Memang ia tidak boleh mengadili semua jabatan kerajaan, namun kita perlu lebih rasional menerima hakikat tersebut. Bukan begitu?

Tradisi kebanyakan masyarakat kita (Melayu terutamanya) lebih selesa untuk bekerja dan berkhidmat dengan jabatan kerajaan. Ini memang kita semua perlu akui. Malahan ia telah ditanam sejak turun-temurun lagi. Mungkin ini masalah sebenar orang Melayu agaknya...

Jika diteliti pilihan untuk berkhidmat dengan kerajaan tersebut sebenarnya lebih kepada jaminan pekerjaan, stabiliti ekonomi, survival dan kemudahan hidup. Malah dengan menjadi penjawat awam banyak kemudahan yang diperolehi seperti pinjaman, bonus dan sebagainya. Malah para graduan juga tidak ketinggalan untuk merebut peluang untuk berkhidmat dengan kerajaan. Para ibu bapa juga lebih seronok dan lega jika mendapati anak-anak mereka diterima bekerja dalam perkhidmatan awam.

Oh... Perlu dijelaskan terlebih dahulu yang saya juga mempunyai ramai rakan-rakan yang bekerja dalam perkhidmatan awam. Bukan niat hendak mengkritik penjawat awam kerana lebih memilih pekerjaan mereka sekarang ini kerana ia (tugas mereka) adalah tugas yang mulia dan baik kerana berkhidmat bagi kerajaan pemerintah untuk rakyat. TAPI apa yang hendak ditekankan ialah sejauh mana keikhlasan mereka dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Kerana mereka (penjawat awam) perlu sedar bahawa mereka ini mewakili pihak pemerintah (kerajaan) dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat sama seperti mana tanggungjawab yang perlu diberikan oleh pemerintah (pemimpin) kepada rakyat. Ia adalah amanah yang besar.

Istilah "Yang Menurut Perintah" tersebut jika diteliti dengan lebih mendalam akan membawa kepada suatu makna yang lain selain menurut arahan pihak pemerintah atau ketua. Bagi yang biasa bercampur atau berurusan atau yang bekerja dalam perkhidmatan awam itu sendiri mungkin lebih jelas tentang perkara ini iaitu, TERPAKSA, MESTI AKUR, MESTI BUAT, dan lain-lain yang mungkin tidak terlintas oleh saya.

Baiklah, saya mudahkan perkara ini kepada analogi (eh, betul ke ejaan ni.. :t) berikut...

Kita perhatikan sekarang ini ramai guru-guru berijazah yang berkelulusan dalam bidang bukan perguruan mengambil sijil perguruan atau biasa kita panggil KPLI untuk mendapatkan jawatan sebagai guru dalam perkhidmatan awam. Saya percaya 90 peratus (mungkin lebih) dari mereka memilih bidang tersebut kerana desakan pekerjaan (dari sudut ekonomi dan survival hidup) dan keluarga sendiri. Yang pasti bagi kaum lelaki ia agak mudah untuk diperolehi (kerana guru lelaki tidak ramai), selain itu pekerjaan yang lebih stabil, gaji yang pasti masuk setiap bulan tepat mengikut tarikh, bonus tahunan yang wajib ada, pencen serta kemudahan-kemudahan lain. Jadi apabila menjalankan tugas sebagai guru, ia menjadi tidak lebih hanya sebagai tugas semata. Ia bukan lagi bersandarkan kepada minat dan kesungguhan. Ini sekadar contoh dari aspek bidang tugas sebagai guru.

Apabila tugas yang perlu dibuat hanya semata-mata kerana ia adalah tugas kita dan ia datang atau diarahkan oleh ketua atau pegawai yang lebih tinggi pangkatnya, maka kita harus lakukan. Jadi ia tidak akan lebih dari itu. Yang penting, setiap hujung bulan kita akan pastikan duit gaji kita untuk bulan tersebut masuk ke dalam akaun kita. Jadi kalau begitu, adakah tujuan kita bekerja untuk gaji atau untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik?

Jadi, apakah maksudnya semua ini? Hmm... :s

.

Friday, November 14, 2008

Malaysia = "Malay"sia = 'Melayu' + 'Sia-sia' ?

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Kaum Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam senarai penduduk negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 sebulan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan. (Klik sini untuk berita penuh)

Sedang saya kini bersungguh-sungguh (dengan bersusah-payah) mengusahakan perniagaan saya (sendiri) yang masih berbau pupuk jerangau ini, membaca berita tersebut pada beberapa hari yang lalu menyebabkan saya terlintas mengenai nasib bangsa Melayu di bumi Malaysia ini pada masa akan datang. Apa yang sangat saya risaukan ialah tentang letak duduknya bangsa Melayu (Islam) pada masa akan datang khususnya dari segi ekonomi dan sosial yang pada akhirnya nanti khuatir-khuatir akan membawa kepada bencana, kemudaratan, kemusnahan dan kehancuran masyarakat dan negara Islam.

Dari segi peratusan, kaum Bumiputera (Melayu dan Bumiputera lain) mula ketinggalan kepada kaum-kaum lain (Cina dan India) apabila kumpulan pendapatan semakin meningkat. Melihatkan statistik ini membuatkan kita (orang Melayu la...) bertanya kepada diri kita sendiri, apa yang telah kita buat sebenarnya dalam tempoh 50 tahun ini?

Tajuk entri kali ini sengaja dibuat begitu. Terlalu mengkritik mungkin. Tapi inilah hakikatnya yang perlu disadari oleh orang-orang yang mengaku Melayu ini yang acap kali mengucapkan kalimah insyaAllah dan Alhamdulillah tanpa ragu-ragu.

Sebelum kita pergi bicara dengan lebih lanjut, mari kita perhatikan peratusan kumpulan pendapatan berdasarkan kaum yang dibuat hasil dari nilai yang disebutkan oleh pak timbalan menteri itu.

Melayu
RM1000 ke bawah - 9.9%
RM1001 - RM2000 - 32.0%
RM2001 - RM3000 - 20.2%
RM3001 - RM4000 - 12.5%
RM4001 - RM5000 - 8.4%
RM5001 - RM10000 - 13.7%
RM10001 - RM20000 - 2.8%
RM20001 ke atas - 0.5%
Jumlah - 100%

Cina
RM1000 ke bawah - 3.2%
RM1001 - RM2000 - 21.1%
RM2001 - RM3000 - 18.7%
RM3001 - RM4000 - 14.6%
RM4001 - RM5000 - 10.4%
RM5001 - RM10000 - 22.9%
RM10001 - RM20000 - 7.4%
RM20000 ke atas - 1.7%
Jumlah - 100%

India
RM1000 ke bawah - 5.8%
RM1001 - RM2000 - 25.2%
RM2001 - RM3000 - 24.4%
RM3001 - RM4000 - 14.7%
RM4001 - RM5000 - 9.0%
RM5001 - RM10000 - 15.4%
RM10001 - RM20000 - 4.7%
RM20000 ke atas - 0.7%
Jumlah - 100%

Bumiputera Lain
RM1000 ke bawah - 18.5%
RM1001 - RM2000 - 41.0%
RM2001 - RM3000 - 17.3%
RM3001 - RM4000 - 8.7%
RM4001 - RM5000 - 5.1%
RM5001 - RM10000 - 8.0%
RM10001 - RM20000 - 1.2%
RM20000 ke atas - 0.2%
Jumlah - 100%

Dari segi peratusan, kaum Bumiputera (Melayu dan Bumiputera lain) mula ketinggalan kepada kaum-kaum lain (Cina dan India) apabila kumpulan pendapatan semakin meningkat. Melihatkan statistik ini membuatkan kita (orang Melayu la...) bertanya kepada diri kita sendiri, apa yang telah kita buat sebenarnya dalam tempoh 50 tahun mi? Makan, minum, tidur? Pergi kerja, balik kerja? Minum susu, pergi sekolah, cari kerja, kahwin, besarkan anak dan akhirnya mati? Adakah hidup ini se'remeh' dan se'temeh' itu?

Kembali kepada tajuk entri di atas, kalau diteliti sebenarnya ianya menyoal orang Melayu ini adakah orang Melayu ini memang suka mensia-siakan hidup mereka. Tolong jangan sempitkan pemikiran anda tentang terma "mensia-siakan hidup" tersebut. Yang memang benar-benar mensia-siakan hidup itu memang sudah terbukti Melayu-lah juaranya. Tapi dalam erti kata yang lebih tinggi dan mendalam, sia-sia itu bermaksud adakah kita menggunakan sepenuhnya peluang hidup yang diberikan secara sementara ini untuk membantu agama, bangsa dan negara. Kita lebih selesa mengutamakan dan mementingkan kehidupan kita semata-mata.

"...Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri..."
(Ar-Ra'd: 11)

Adakah orang Melayu malas berusaha? Saya rasa tidak. Cuma mereka hanya berusaha seadanya dan secukupnya sahaja. Tahap terakhir yang menentukan pencapaian mereka ialah keselesaan. Ya, SELESA. Inilah penyakit orang Melayu sebenarnya. Asalkan mereka selesa, mereka mula tidak mengambil berat lagi akan perkara lain. Yang penting selesa.

Jika perkara ini berlanjutan generasi demi generasi, risau-risau masyarakat, agama dan negara Islam Malaysia tercinta ini akan ditimpa bala bencana yang tidak terdugakan. Lihatlah, apabila orang Melayu (juga Islam) ini asyik memikirkan untuk mencari duit semata-mata tanpa menghiraukan lagi pengisian kerohanian, spiritual dan mental diri, anak-anak dan ahli keluarga. Itu belum lagi untuk sama-sama memikirkan dan membantu membangunkan ummah dan agama Islam. Akhirnya, hidup ini hampir akan tiada nilainya lagi. Kesannya lagi akan membawa kepada kelahiran generasi yang rosak, hancur, mundur dan "sampah".

Terus terang, saya tidak berapa mempedulikan nasib "Melayu" ini. Mungkin agak sensitif. Namun yang lebih penting bagi kita yang mempercayai bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad (SAW) itu pesuruh-Nya ialah untung rugi agama, masyarakat dan negara Islam yang hendak diangkat tinggi ini.

Sebagai penutup, suka saya tanya soalan ini... Adakah ini yang dikatakan Melayu (juga Islam... sebab negara ini negara Islam) merempat di bumi sendiri?

Ha, lu pikir la sendiri!!! :#
.
.

Saturday, November 08, 2008

Pre Marriage Course : How Far It Affect?

Membaca mengenai berita kursus perkahwinan yang diikuti oleh artis popular, Mawi dan pasangannya yang juga artis, Ekin telah menuntut saya untuk membuka entri kepada tajuk yang agak asing bagi blog ini. Kebetulan juga hari ini saya hadir ke walimatul urus sahabat lama semasa menuntut di UTM dahulu, kedua-duanya sahabat saya.

Jujurnya, saya pernah terlibat dengan pengurusan dan penganjuran kursus pra perkahwinan ini. Jadi saya tahu hampir segala-galanya dari awal hingga akhir dan setelah berakhir dan lebih lagi dari itu semua. Bahkan mungkin di luar jangkauan ramai. Mungkin agak pelik bunyinya.

Namun, persoalan yang ingin dikemukakan di sini bukanlah kepelikan tersebut, tetapi sejauh mana sebenarnya keberkesanan kursus pra perkahwinan yang saya difahamkan sekarang sudah diwajibkan di semua negeri ini?

Bermacam reaksi dan respon manusia yang hadir boleh diperhatikan. Suka, terpaksa, tak kisah, bersungguh-sungguh? Itu di pihak peserta. Di pihak penganjur bagaimana pula? Kebanyakan negeri telah menswastakan penganjuran kursus perkahwinan ini. Namun pihak jabatan agama masih turut aktif menganjurkannya. Bagaimana pula di sisi penceramah, prestasi mereka menyampaikan ceramah?

Komen anda? Jika anda pernah menghadiri kursus pra perkahwinan, apa kata anda berikan sedikit komen mengenai kursus yang diikuti itu. Jikalau anda belum pernah mengikutinya sekali pun, apa kata anda berikan sebarang komen tentang kursus pra perkahwinan ini. Perlukah ia? Jika perlu, bagaimana seharusnya?

Oh ya... Yuran kursus pra perkahwinan di negeri Johor sekarang ialah RM 120 seorang sekarang bagi kursus selama 2 hari. Di negeri lain? :o

Friday, November 07, 2008

Some Story About Islam in Malaysia (Part 1)

Pada 7 Oktober lalu, Dr Mohd Asri memutuskan bersara mengejut akibat "tidak selesa dengan permainan politik" oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya. Beliau menyifatkan cara pengurusan kontraknya "macam main silap mata". Sehari selepas itu beliau diterima mengadap Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hasrat untuk bersara.

Semalam, berita melaporkan pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azwira A Aziz dan bekas naib mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya telah dicalonkan bagi mengisi kerusi penting tersebut.

Pantun "Cari Ganti"

Tiba-tiba terfikir, selepas daripada ini nanti akan adakah lagi suara-suara membantah yang tegas dan lantang dari golongan agama di Malaysia? Siapa lagi yang berani menegur "pembesar" dan "penghibur" di Tanah Melayu ini? Tidak mengapa, masih ada Ustaz Harussani sekurang-kurangnya. Inilah telahan hati untuk menyedapkan rasa hati yang memang kurang sedap ini.

Membaca tulisan Dr. MAZA dalam Majalah i bulan lalu menyebabkan saya rasa terhibur dan seronok. Kalau sesiapa yang sudah membacanya mesti rasa pelik dengan kenyataan ini. Bukan kenapa untuk rasa terhibur dan seronok, tetapi kesedaran yang cuba diketengahkan begitu konkrit, berisiko, berani, jelas lagi nyata. Bukan juga selama ini tulisan-tulisan lain beliau tidak sebegitu, tetapi yang ini terasa kelainannya berbanding membaca tulisan-tulisan lain beliau. Sebenarnya setiap artikel tulisan beliau memang menyegarkan pemikiran dan jiwa.

"Agama Bukan Mengkhayalkan Orang Miskin". Tajuknya kelihatan biasa sahaja. Tapi setelah membacanya, ia penuh penggesaan dan peringatan. Sangat provokatif (mungkin). Dimulakan dengan kisah Imam al-Nawawi (631-676H) pada zaman pemerintahan Malik al-Zahir. Menonjolkan ketegasan dan keberanian imam tersohor itu. Artikel tersebut sebenarnya menyeluruhi aspek kehidupan sosial, ekonomi dan politik masyarakat Islam atau negara Islam setepatnya di Malaysia. Paling penting ditekankan ialah tentang aspek kepimpinan yang sebenar, dengan meliputi hubungan sosial, ekonomi dan politik.

Satu lagi perkara dan persoalan penting yang dikupas serba ringkas tetapi cukup jelas dan tepat ialah berkenaan zakat dan pengurusannya. Saya bukan di bidangnya untuk mengupas tentang aspek zakat ini, tapi saya juga bukan jahil untuk menerangkan kepentingan dan kepentingan serta peranan zakat ini pula. Tak mengapa, kita tinggalkan dulu perkara ini (kita cerita tentang zakat kemudian ya... :)).

Kisah Khalifah Umar al-Khattab yang diselitkan sedikit juga sangat memberi kesan terhadap amalan pembaziran pemimpin masa kini (Islam pula tu) melibatkan sosial, politik, dan ekonomi. Kesimpulannya yang boleh saya rangkumkan berkenaan dengan artikel tersebut ia menekankan tiga perkara dari sudut sosial, ekonomi dan politik iaitu pembaziran (gaya hidup), tanggungjawab (zakat) dan yang paling utama (yang saya hendak tekankan dalam entri ini sebenarnya) peranan ulama'.

Inilah dia, peranan ulama. DI MANA PERANAN ULAMA'? Tak perlu cerita jauh, hanya di Malaysia sahaja. Meminjam kata-kata Dr Maza, ulama yang tidak memainkan peranan sebenar jadilah sepertu "ulama burung kakak tua". Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar dari segala-galanya. Lagi besar nama atau tarafnya, lagi besar tanggungjawab dan risikonya. Ulama' bukan sekadar sesedap panggilan dan darjatnya sahaja, tapi sejauh mana ulama' memainkan peranannya.

Hmm... Serasa begitu sukar mengungkapkan perkara ini. Kenapa hati ini perlu risau sebegini. Nasib dan takdir masyarakat Islam dan negara Islam ini. Bumi penuh rahmat Malaysia ini. Begitu sayang sekali... :(

Tika ini terbayang tulisan Faisal Tehrani dalam bukunya Saasatul Ibaad yang antara lain menekankan tentang para ulama' dengan Islam konseptual dan Islam aktual. Tidak pasti kenapa. Akan saya cari kaitannya dengan perkara yang di-omelkan dalam entri ini. Pasti ada hubung kaitnya. Apa itu Islam konseptual? Islam aktual?

bersambung...

Wednesday, August 27, 2008

PKPIM Says Avril Is OK, Is She Really OK?

(MalaysiaKini, 25 Ogos 2008) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tidak melihat sebarang masalah dengan penyanyi punk pop wanita kelahiran Kanada, Avril Lavigne, yang akan mengadakan konsertnya Jumaat ini. Presidennya Mohd Hilmi Ramli berkata penyanyi itu yang dianggap sesetengah pihak di negara ini sebagai seksi "lebih baik sedikit daripada artis-artis luar negara" yang pernah membuat persembahan.

"Avril Lavigne OK sebenarnya. Tidak ada elemen yang tidak baik. Personalitinya lebih baik," tambahnya. "Muziknya OK sikit." 

Oleh itu, PKPIM tidak merancang untuk mengadakan demonstrasi membantah konsert 29 Ogos ini seperti diura-urakan oleh sesetengah pihak. "Dan kami tidak ada niat untuk mengadakan demonstrasi," kata Mohd Hilmi kepada Malaysiakini.

PKPIM bagaimanapun, kata Mohd Hilmi, berpendapat pemilihan tarikh untuk mengadakan konsert itu tidak sesuai. "Cuma tarikh konsert itu diadakan dekat dengan Ramadhan dan kemerdekaan, seolah-oleh kerajaan tidak sensitif dengan keadaan dan waktu," kata Mohd Hilmi. 

Demonstrasi berhubung isu yang sama berulang-ulang akan "menjatuhkan imej" PKPIM sebagai pertubuhan dakwah, tambahnya, dan ia tidak mahu kelihatan mengambil "pendekatan keras."


Konsert tersebut dibenarkan kembali oleh kerajaan Sabtu lalu selepas dilaporkan mahu ditangguhkan beberapa hari sebelumnya. PKPIM sering menyuarakan bantahannya dalam beberapa konsert penyanyi tempatan dan asing, termasuk konsert penyanyi pop Gwen Stefani (foto kiri) pada 21 Ogos tahun lepas. Penganjuran konsert tersebut mendapat bantahan daripada PAS dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mulai awal bulan ini.

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan semalam menyeru beberapa organisasi seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menyertai bantahannya.

"Pemuda (PAS) Wilayah melihat seolah-olah menteri-menteri Umno tunduk kepada tekanan luar apabila tiba-tiba sahaja bersetuju meluluskan konsert berkenaan. Menteri-menteri Umno bacul kerana tidak dapat mempertahankan maruah umat Islam dan Melayu di negara ini.

"Pemuda Wilayah akan menghantar semula memorandum kepada pihak kerajaan bagi membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya kelulusan yang telah diberikan. Jika perlu Pemuda Wilayah akan turun berdemonstrasi di jalan raya membantah konsert Avril," satu kenyataan di blog Dewan Pemuda PAS itu dipetik.

Timbalan pengerusi hal-ehwal wanita Gamis, Zafirah Zainuddin hari ini tidak bersetuju dengan pendirian PKPIM.

"Mengikut permerhatian Gamis, video-video klip dan gambar-gambar, penampilannya keterlaluan, mendedah (badan) dan tidak seiring dengan budaya kita. Ia mempengaruhi pemakaian anak muda. Ia membawa muzik punk dan punk memberi kesan negatif kepada anak muda," katanya kepada Malaysiakini.

Konsert penyanyi punk berusia 23 tahun itu dijangka akan berlangsung di Stadium Merdeka jam 8 malam. Isu memprotes konsert Lavigne mula serius apabila ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad berbincang dengan wakil Pusat Setempat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar (Puspal) agar konsert itu dibatalkan.

Rabu lalu, wanita Gamis yang diketuai naib presidennya Rafidah Jannah Salleh menghantar memorandum bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung penganjuran konsert tersebut. Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada hari yang sama dilaporkan menimbangkan untuk menangguhkan konsert itu ke satu tarikh lain yang bersesuaian dengan alasan tidak sesuai dengan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan membawa nilai buruk kepada akhlak rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan membenarkan semula konsert setelah menetapkan prasyarat dan peraturan kepada penganjur agar ia tidak menjejaskan budaya dan penerapan nilai yang tidak baik di kalangan anak-anak muda khususnya dalam bulan kemerdekaan ini.

Diminta mengulas keputusan baru kerajaan itu, Zafirah berasa cukup kecewa dengan langkah meneruskan semula konsert itu. "Kami membantah sekeras-kerasnya penganjuran konsert tersebut," katanya. Zafirah berkata wanita Gamis akan menghantar memorandum kepada kementerian berkenaan jam 11 pagi Rabu ini untuk membantah konsert tersebut. Tambahnya, Gamis juga akan mengedarkan risalah kepada orang ramai sebagai bantahan.

Agak mustahil kerajaan boleh memantau konsert itu agar tidak timbul masalah sosial di kalangan anak muda seperti berdua-duaan, berkelakuan sumbang dan minum arak, kata Zafirah lagi.

"Tidak ada impak positif kepada anak muda. Tidak ada kesan pembinaan sahsiah mereka. Konsert (ini) menyumbang kepada keruntuhan akhlak, melemahkan pemikiran dan minda anak muda," katanya.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More