Minggu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah telah membuat spot check dengan turun padang meninjau masalah pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Tahniah diucapkan kepada Pak Lah untuk tindakan tersebut, dan kami di pihak rakyat sangat menghargai usaha beliau itu. Buat masa ini beliau telah mengalami sendiri penanggungan rakyat yang menggunakan pengangkutan awam tersebut (LRT dan Komuter). Saya bertanggapan selepas ini beliau perlu cuba untuk naik bas atau teksi pula.
Entri ini bukan untuk menceritakan masalah pengangkutan awam di bandar-bandar besar, itu saya serahkan kepada 'mereka-mereka' yang lebih tahu dan arif berkenaan hal tersebut. Sedikit sorotan sejarah secara ringkas ingin dibawa buat renungan. Ilmu yang sedikit ini walaupun mungkin ramai yang tahu, tetapi suka disampaikan juga buat peringatan, kerana tahu itu tidak bermaksud kita ingat dan kita amalkan. Melihat kepada usaha PM tersebut mengingatkan saya tentang 2 orang tokoh pemimpin Islam yang unggul iaitu Khalifah Umar Al-Khattab dan Sultan Alauddin (pementasan tentang kewafatan Sultan Alauddin masih berjalan di UM..).
Sepatutnya pemimpin yang baik haruslah tahu, sedar dan rasa apa yang dialami oleh rakyat kerana namanya pun wakil rakyat yang berkhidmat untuk rakyat. Memang pembangunan itu penting, namun ianya perlu selari dengan keperluan dan tuntutan serta hasrat rakyat keseluruhannya dan bukan hanya untuk segolongan kecil rakyat sahaja. Inilah titik sebenar tanggungjawab seseorang pemimpin itu. Pemimpin bukan platform untuk jadi kaya atau hidup senang dan mewah. Ia adalah satu TANGGUNGJAWAB YANG SANGAT BERAT yang rela dipikul oleh 'mereka' ini untuk mendapatkan mardhatillah yang lebih tinggi daripada Allah. Aduhai... betul kata FT, kita dah ketiadaan 'pemimpin yang benar-benar memimpin'.
Baiklah berbalik kepada situasi kita di Malaysia kini. Apabila PM sendiri mengalami masalah yang dihadapi oleh penumpang tren komuter Keretapi Tanah Melayu dan sistem transit aliran ringan (LRT), sudah tentulah akan ada tindakan segera yang diambil. Sepatutnya PM sendiri tak perlu lah buat begitu selalu kerana pemimpin di Malaysia ni bukannya dia seorang. Tapi inilah hakikatnya, di Malaysia budayanya ialah jikalau tidak Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan, tidak ada siapa yang ambil kisah. Jadi kejutan sedemikian amat perlu bagi menyedarkan semua pihak yang terbabit betapa seriusnya masalah pengangkutan awam di negara ini khususnya di ibu kota.
Selepas ini PM juga nampaknya harus melawat ke flat tempat tinggal rakyat berpendapatan rendah di KL. Beliau akan mendapati bagaimana buruknya sistem pengendalian perkhidmatan di flat-flat tersebut. Ada kalanya lif rosak menyebabkan penghuni harus memanjat 16 tingkat. Masalah bekalan air, perkhidmatan sisa buangan dan lain-lain menjadi masalah besar. Kita masih tidak keluar dari kokon lama dalam menangani masalah perumahan rakyat berpendapatan rendah di bandar. Kita membuat rumah kos rendah sedangkan sepatutnya kita tumpukan perhatian pada rumah mampu tinggal. Sewaktu kerajaan Singapura membina flat untuk rakyat mereka, fokus mereka bukan rumah murah atau rumah kos rendah tetapi rumah yang mampu didiami. Oleh kerana tumpuan kita pada siling harga RM25,000 atau RM35,000 seunit, maka yang kita dapat berikan pada rakyat hanyalah rumah pasang siap yang kualitinya belum tentu dijamin, itu belum lagi soal keselesaannya.
Selain itu PM harus menjenguk ke kawasan setinggan di Kuala Lumpur. Saya percaya beliau akan tergamam dengan keadaan kehidupan di tempat-tempat ini. Banyak orang yang tidak percaya bahawa di tengah bayangan dua menara yang sebelum ini merupakan bangunan tertinggi di dunia, manusia masih hidup dalam kedaifan. Mereka minum dari perigi yang dibuat sendiri dan tidak mempunyai sistem sanitasi yang betul. Terlalu banyak yang didedahkan oleh media mengenai masalah kemiskinan bandar atau urban poor ini. Sayangnya pendedahan itu tidak sampai ke mana. Selepas itu mereka akan dilupakan. Mereka akan dilawati apabila pilihan raya menjelang. Janji akan ditabur. Bantuan akan diberi. Selepas itu mereka tinggal hanya sebagai statistik.
Saya cadangkan PM buat lawatan mengejut di majlis-majlis pihak berkuasa tempatan. Tinjaulah sendiri bagaimana cukai pintu yang dibayar oleh rakyat digunakan oleh pihak berwajib. Lihatlah aspek kebersihan dan keadaan parit dan longkang.
Saya berharap PM singgah juga ke mana-mana tandas awam dalam perjalanannya pulang ke Pulau Pinang atau sewaktu melawat ke Utara, Selatan dan Timur. Jangan singgah di tempat VIP. Pergilah ke tandas awam di tempat rehat, stesen minyak atau di masjid dan surau. Perdana Menteri akan sedar budaya kebersihan di kalangan rakyat kita. Dan betapa sukarnya untuk mendakwa negara kita menghargai kebersihan. Kalau boleh singgah juga di tempat makan awam. Harga sepinggan nasi dengan ikan kembung sudah mencecah RM8.00 hari ini.
Pak Lah juga harus melawat ke pasar basah di ibu kota. Datanglah tanpa sebarang pengumuman. Lihatlah sendiri bagaimana kotor dan tidak hijeniknya pasar kita. Itu belum lagi harga barang makanan yang melambung akhir-akhir ini. Sekiranya Perdana Menteri pergi ke pasar awam beliau akan dapati harga ayam mencecah RM7.50 sekilo hari ini, paling tinggi dalam sejarah. Mungkin menteri yang berkaitan tidak sempat membuat lawatan atau pemantauan di pasar-pasar yang kotor ini.
Dalam keadaan hari ini, hukum pasaran terbuka beroperasi ialah permintaan akan menentukan harga. Kekurangan bahan akan menentukan harga. Tiada siapa yang berkuasa di pasar, bukan pegawai kementerian berkenaan yang datang sekali-sekala dengan pakaian kemas, bertali leher dan membawa kamera TV. Yang menentukan harga ialah pengeluar, pemborong, orang tengah dan penjual di pasar. Tanyalah mereka yang berkunjung ke pasar apa yang boleh dibeli dengan harga RM50 hari ini. Perdana Menteri akan terkejut dengan nilai ringgit di pasar hari ini.
Sebenarnya kalau hendak diturutkan banyak lagi tempat-tempat yang ingin dicadangkan agar PM sendiri turun, tengok dan saksikan termasuklah di negeri-negeri lain. Tapi kesedaran bahawa tugas seorang Perdana Menteri bukan buat ini saja (Kalau betul-betul buat boleh makan bertahun-tahun lamanya). Lagipun apa guna Pak Menteri-Pak Menteri yang ramai, wakil-wakil rakyat yang dah dipilih. Itulah tugas mereka.
Tapi ada 2 persoalan yang timbul. Pertama, kalau mereka ini buat pun sekalipun tindakan seperti ini, sejauh mana pihak yang berkenaan akan mengambil tindakan? Keduanya, kalau lah pula yang lakukan tindakan ini wakil rakyat yang di pihak oposisi, sejauh mana pula ianya akan dipedulikan? Kemudian baru diambil tindakan? Seperti yang dinyatakan di awal tadi, budaya kita kena tunggu sehingga 'orang besar' turun padang baru ada tindakan. Jadi sampai bila perkara dan budaya ini akan berlarutan? Kalau begini memanglah menjadi tanggungjawab utama PM dan barisan ahli kabinetnya untuk berbuat demikian.
2 comments:
haa..entri kali ni aku sedut dari tulisan johan jaafar. aku tertarik dengan artikel dia kali ni. tapi macam biasa la aku modify ikut perspektif aku. dan aku cut bahagian2 tertentu yang macam lebih2 aku rasa. hehe.. tapi secara peribadi memang la aku suka dengan tidakan pak lah tu. tapi adakah ini hanya sekali dalam setahun? adakah ia akan disusuli dengan tindakan yang lebih kerap oleh ahli kabinet yang lain? atau wakil rakyat yang lain? entah la..
sebab tu aku suka menyorot sejarah islam. dah ada contoh pun memang. jadi??? kalau perkara ni bagus buat lah selalu. sepatutnya kalau ikut saidina umar atau sultan alauddin, tindakan terus dibuat la tu jugak. tindakan2 sebegini perlu dibiasakan sepatutnya. ai...penat la aku cakap pasal pemimpin2 kita nih! sibuk nak jadi pemimpin, tapi kerja tak nak buat betul2!! makin sakit kepala aku dibuatnya.
dah la cukup2 la ni.. aku tulis2 ni bukan diorang baca pun. (huhu..) ha, mencuri kata2 nabil, lu pikir la sendiri!!
hehe.. suka tgk gambar tu. byk maksud tersirat & tersurat tuh. takpa no.. bukan dia sorang macam tu. lg pun sbb penat bekerja lah dia hak sampai tertido lagu tu. apa pun sy curi jugak kata2 hang yg hang curik drp nabil tuh, "lu pikiaq la sendri!"
Post a Comment