OLEH MOHD AYOP ABD RAZID
(Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan)

Untuk lima bulan pertama (Januari-Mei) tahun ini, jumlah dagangan negara mencatat peningkatan 11.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Malah negara mencatat lebihan dagangan berturut-turut sejak November 1997. Jumlah eksport negara meningkat kepada 14.6 peratus (RM268.2 bilion) sementara import negara negara meningkat 7.2 peratus (213.4 bilion). Selain keluaran hasil komoditi, pertumbuhan ekonomi negara banyak dibantu oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menjadi penyumbang utama dagangan global negara.
Dalam sektor pembuatan negara berjaya meraih pelaburan sebanyak RM26.2 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2008. Sektor perkhidmatan pula menyumbang sebanyak 30.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2007.
Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) meramalkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia bagi tahun ini mengatasi nilai tahun lalu berjumlah RM33.4 bilion. Dalam empat bulan pertama tahun ini negara sudah mampu menarik pelaburan FDI berjumlah RM16.6 bilion terutama dari United Kingdom, Australia, Singapura, Taiwan dan Jerman. Perlu dinyatakan bahawa Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, China dan Thailand masih kekal sebagai rakan kongsi dagangan utama negara yang menyumbang 53.2 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

Liberalisasi perdagangan melalui FTA memacu pelaburan serta meningkatkan eksport negara ke pasaran antarabangsa. Ini sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi negara. Misalnya, di bawah FTA Asean-China, eksport Malaysia ke China dengan menggunakan 'sijil tempat asal' (COO) bertambah kepada RM3.8 bilion pada 2006 daripada RM1.3 bilion pada 2005. Asean dengan jumlah penduduknya melebihi 570 juta semakin menjadi kawasan pasaran penting untuk negara. Sektor utama yang menjadi sasaran pelabur kita di rantau Asean ialah sektor pembuatan, perbankan dan perhotelan. Kita tidak nafikan bahawa kenaikan harga minyak dan krisis makanan global memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Pertumbuhan ekonomi negara dijangka berada pada kadar lima peratus tahun ini. Untuk mencapai kedudukan negara maju menjelang 2020 negara memerlukan pertumbuhan ekonomi pada kadar enam peratus. Kita yakin, kewujudan Majlis Ekonomi pada 5 Ogos lalu mampu menjadi mekanisme penting dalam menggubal strategi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

Majlis Ekonomi juga berperanan merangka satu jaringan keselamatan sosial yang tuntas bagi mengurang impak terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Meskipun persekitaran luaran memberikan cabaran, kita yakin dengan ada struktur ekonomi yang kukuh serta ekonomi yang pelbagai, memberi kekuatan kepada negara mengharungi cabaran ekonomi global yang semakin tidak menentu.
Kesimpulannya, bukan mudah untuk kerajaan mengawal dan mengurus ekonomi negara yang sedang berdepan cabaran persekitaran ekonomi global yang semakin tidak menentu. Ia tidak semudah seperti dilafazkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berdebat dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Walaupun negara mewah dengan kepelbagaian sumber, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan lebihan pendapatan melalui 'pengelembungan' subsidi. Subsidi perlu dikawal dan dikecilkan supaya pendapatan negara benar-benar dapat disalurkan untuk pembangunan yang lebih bermanfaat.
ilmi: Yang sihat dan stabil itu ialah mereka yang ber'duit' dan ber'wang'. Mereka ni bagi la keadaan ekonomi baik ke tak baik ke, sama jugak jadinya. Aku rasa kita ni dah terlalu melebih-lebihkan pak-pak menteri (mahupun wakil rakyat) sebab iye kan saja apa yang mereka utarakan. Sepatutnya mereka yang mengiyakan apa yang kita (rakyat) minta dan utarakan. Mereka ni perlu hidup macam rakyat biasa. Mereka yang sepatutnya jangan hidup bermewah-mewah. Mereka yang sepatutnya bersusah payah untuk rakyat. Sebab mereka yang pandai-pandai offer nak jadi wakil rakyat, so kenalah tanggung beb! Aku memang tak berapa gemar bila bincang bab politik ni. Tapi bila sume perkara nak dipolitikkan, payah la hidup camni. Tapi hidup ni memang dipenuhi dengan politik, betulkan... So kena terimala. Siapa belajar sains politik? Angkat tangan!Ops! Ops! Satu lagi soalan penting... Siapa sebenarnya yang paling untung dan dapat manfaat yang paling banyak dengan pembangunan ekonomi negara kita ni??? Camne ni!? Siapa?Golongan mana?
0 comments:
Post a Comment