Serasanya kisah
hantu, jembalang, pontianak, saka, dan lain-lain yang sekaum kerabat dengannya
kalau nak diceritakan mahupun didebatkan sudah lama ianya bertapak dalam
kehidupan kita. Sedari kecil lagi saya juga telah dikisahkan dengan pelbagai
kisah-kisah benar seram oleh mereka yang lebih dewasa.
Malah kebanyakan
pengusaha dan penggemar filem kini pun semakin “syok” dengan filem-filem
bergenre seram (sama ada untuk menakutkan ataupun untuk berlawak). Malah mungkin
“yang paling tepat” ialah seram yang memberi pengajaran dan nasihat.
Tuan-tuan…
terutamanya mereka yang beragama dan mengaku Islam di luar sana, tuhan dan nabi
kita tidak pernah mengajar untuk kita takut-menakutkan dengan sesuatu SELAIN Allah dan Azab di Neraka. Memanglah perasaan takut itu fitrah semulajadi
manusia. Tapi haruskah kita DENGAN SENGAJA membiarkan kita untuk takut
selainNya?
Dari sudut
manakah filem-filem atau cerita-cerita seram (bila seram sudah pasti unsur
menakutkan itu ada) ini boleh benar-benar memberi iktibar, pengajaran dan
nasihat? Tanyalah sesiapa pun yang menonton cerita seram pasti perkara pertama
dan utama yang terlintas dan tertanam dalam diri mereka ialah rasa takut yang
kemudiannya barulah dicampuri dengan lain-lain rasa.
Saya tidaklah
berniat untuk mengulas panjang isu ini mahu pun memanjangkan ulasan kerana isu
ini sudah acap kali dibangkitkan dan dihujahkan dari pelbagai perspektif oleh
pelbagai pihak dan individu sehingga yang terkini isu filem Hantu Bonceng.
Suka saya memberi INGATAN SERIUS kepada mereka yang menyokong akan pembikinan cerita-cerita
berunsur seram ini supaya ingat akan ajaran agama Allah dan RasulNya. Sebenarnya
persoalan besar disebalik semua ini bukanlah siapa takut dan siapa tidak takut,
memberi pengajaran atau pun tidak, tapi silap haribulan kita yang terlibat sama
ada secara langsung mahu pun tidak langsung, dari penerbit hingga ke krew filem
sampailah kepada penonton semuanya boleh jatuh SYIRIK!
Ramai yang
akan marah kalau mereka itu dikatakan syirik. Tapi mereka tak mahu menerima hakikat
kesilapan yang telah dilakukan. Di pihak yang menghasilkan filem, bukankah
membuat sesuatu dengan tujuan menakutkan manusia lain kepada sesuatu yang lain selain
Allah itu boleh jatuh kepada syirik!? Di pihak yang menonton pula, bukankah
sengaja membiarkan diri menonton sesuatu yang boleh menyebabkan mereka rasa takut
kepada sesuatu yang lain selain dari Allah itu juga boleh jatuh kepada syirik!?
Ini baru
perasaan takut itu sahaja dibincangkan, belum lagi unsur-unsur lain yang boleh
menghina agama, selain kesannya kepada pendidikan dan perkembangan akal dan
moral manusia terutamanya kanak-kanak.
Ini bukan
soal perkembangan industri filem. Apa guna kita sibuk bersorak gembira kerana
sambutan yang hebat dan berjaya mengaut keuntungan yang tinggi tapi dengan
menjadikan kita dan ramai orang lain kepada syirik? Na’uzubillah…
Tuan-tuan… Biarlah
rezeki yang kita perolehi itu diberkati dan diredhai Allah, dan biarlah duit
kita itu disalurkan ke jalan yang diberkati dan diredhai Allah. Hidup ini hanya
sekali dan cuma sementara, yang kekal abadi hanyalah Allah dan kepadaNya jua
akhirnya nanti kita akan kembali.
Akhirnya saya
lontarkan persoalan ini kepada penggemar filem seram, Apa seronoknya menonton
filem seram? Sepatutnya SERAMLAH KITA AKAN AZAB API NERAKA ALLAH.
0 comments:
Post a Comment