Berita pemansuhan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang diwar-warkan dalam pertengahan September lalu membuat hati kecil saya bergembira menyambut “kemenangan”. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya tadahkan dan panjatkan kepada Ilahi. Sesungguhnya walau apa pun jua yang berlaku, semuanya adalah atas izinNya jua untuk kita sebagai hambaNya mengambil setiap sesuatu itu sebagai panduan, teladan dan sempadan.
Pun begitu, terima kasih jua buat barisan kepimpinan Negara hari ini yang mengerti kehendak rakyat jelata dan bertindak tepat dalam landasannya. Namun, adalah tidak adil jika penghargaan tidak turut diberi kepada barisan pendesak Negara atau pihak oposisi atau juga hari ini kita lebih sinonim dengan nama Pakatan Rakyat dan juga pertubuhan-pertubuhan NGO dan individu-individu yang memperjuangkan pemansuhan ISA ini selama bertahun-tahun.
Realitinya isu ISA ini bukanlah isu politik semata. Bagi saya ia merupakan isu kemanusiaan dan undang-undang. Saya kira semua maklum bahawa undang-undang dan perlembagaan Negara kita asalnya adalah cetakan pentadbiran British. Tapi setelah lebih setengah abad kita mengaku merdeka, seharusnya kita lebih serius melahirkan Negara Malaysia yang benar-benar tulen dan merdeka.
Benar, saya mengakui bahawa ISA ini adalah ANTARA medan, ruang atau juga instrumen pihak yang memerintah bagi memastikan keselamatan Negara dalam memastikan keamanan rakyat dan pentadbiran. Namun dari segi manusiawi saya kira ianya adalah sesuatu yang SANGAT-SANGAT SALAH. Malah agama mana yang membenarkan seseorang itu dicabuli hak undang-undangnya dan kemanusiaannya untuk ditangkap dengan cara yang bagi saya adalah “tidak beradab” (dalam konteks penahanan), tanpa sebarang alasan kukuh dan tanpa sebarang penjelasan jelas kenapa seseorang itu dengan “secara tiba-tiba” ditangkap.
Saya pasti ramai juga di luar sana (namun masih minoriti) yang menyokong ISA ini (walau pun saya pasti kebanyakan mereka ini akan turut menolaknya jika pihak pemerintah berbuat demikian), namun saya sangat pasti andaikata penguatkuasaan ISA ini berlaku ke atas ahli keluarga terdekat atau orang-orang penting dalam hidup mereka dan mereka pula mempunyai ruang akses yang terhad dalam bidang perundangan ini (ramai di antara kita dalam golongan ini), pandangan mereka terhadap ISA ini pastinya berubah sebaliknya.
Kata orang, “Dengan Melihat Kita Akan Percaya, Dengan Merasa Kita Akan Mengakui”.
Walau apa pun, idea pemansuhan ini hakikatnya adalah sesuatu yang sangat baik dan disambut positif oleh segenap masyarakat sama ada kepada yang sedar akan situasi ISA ini mahupun tidak ambil peduli sama sekali. Fikir Rasa saya, idea pembentukan sebuah akta baru bagi menggantikannya haruslah dinilai dengan lebih terperinci agar pelaksanannya kelak selari dengan tuntutan Islam dan kemanusiaan.
Moga-moga Allah akan mengurniakan kesejahteraan dan keselamatan kepada Negara Malaysia tercinta ini. Jazakallah.
0 comments:
Post a Comment