Mutakhir ini politik Negara digegarkan kembali dengan isu hudud dengan respon yang pelbagai dari banyak pihak sama ada yang “kedengaran” mahu pun yang “tidak didengarkan”.
Secara tiba-tiba isu ini bangkit kembali dari tidurnya. Seolah-olahnya begitu jika hendak digambarkan keadaannya. Walaupun menurut pihak kerajaan Kelantan ianya tidak sebegitu kerana memang ada semacam seminar atau program khusus berkenaan penerangan Hudud dan undang-undang Islam yang dibuat secara tahunan.
Saya bukanlah seorang yang arif dalam perkara ini. Justeru saya telah memerhati dan membaca respon dari pelbagai pihak dari pelbagai sumber untuk melihat perkara ini dengan pandangan yang lebih luas.
Namun, saya sangat tertarik dan bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Profesor Dr. Aziz Bahri, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang merupakan seorang Pakar Perlembagaan di Malaysia. Saya kira kenyataan beliau ini sudah cukup menjelaskan isu ini dan letak duduknya, dan apa pendirian, persepsi dan tindakan yang seharusnya kita ambil. (Klik SINI untuk membaca tulisan beliau)
Sebagai seorang muslim yang yakin pada agama yang dianuti, kenapa harus kita menolak undang-undang Allah apabila ada usaha dari pihak pemerintah untuk melaksanakannya? Malah undang-undang Allah ini sudah SEMESTINYA LEBIH BAIK dari undang-undang manusia, dan pastinya tujuan ia dilaksanakan adalah untuk meningkatkan mutu dan kualiti perundangan.
Lalu, saya tidak bisa menerima bagaimana sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan rukun yang 6 itu, seseorang itu boleh menolak pelaksanannya? TAKUT? Apa yang mesti ditakutkan kalau kita tidak melakukan kesalahan? Sefaham saya, orang yang takut akan undang-undang ialah mereka yang melakukan kesalahan. Apa orang kata, “Berani kerana Benar, Takut kerana Salah”!
Kalau orang Islam itu sendiri sudah menentangnya, apatah lagi mereka yang belum beragama Islam. SEPATUTNYA tugas kita sebagai muslim (terutamanya yang mempunyai kuasa) memberikan penjelasan dan kefahaman kepada mereka yang non-muslim ini, bukan kita yang beria-ia menolaknya.
Dalam isu Hudud ini, pelaksanaanya hanyalah di negeri Kelantan sahaja dan tentunya ianya hanya terpakai kepada mereka yang beragama Islam sahaja. Kalaulah ianya terbukti berkesan dan berjaya, kenapa tidak ianya diimplimentasikan oleh negeri-negeri yang lain pula? Bukankah akhirnya kesan dan manfaatnya berbalik kepada masyarakat dan Negara umumnya?
Jadi bila sudah ada pemimpin kita yang mahu laksanakan undang-undang Allah ini, kenapa harus ianya ditentang? Bagi pemimpin Islam yang belum bersedia untuk melaksanakannya pula, seharusnya mereka menyokong dan pada masa sama mestilah menanamkan azam bahawa suatu masa nanti akan melaksanakannya juga. Tapi persoalannya bila? 10 tahun? 20? Atau 50 tahun lagi?
Teman-teman, saya ingin menyeru semua untuk berfikiran lebih terbuka dan berlapang dada dalam menerima pandangan dan fakta walau pun dari pihak yang mungkin bertentangan ideologi atau prinsipnya dengan kita. Manfaatkan akal di tempat yang betul, jangan emosi dalam berfikir. Jangan kerana demi “Kesetiaan” pada sesebelah pihak itu, kita sanggup menggadaikan agama Allah yang tercinta ini.
Fikir Rasa saya isu ini bukanlah isu politik semata. Ini ialah isu menegakkan dan memperjuangkan agama Islam sebagaimana yang dituntut ke atas semua umat Islam, terutamanya mereka yang diberi nikmat kekuasaan oleh Allah. Dari sisi lain, ini adalah antara usaha untuk meningkatkan sistem perundangan di Negara kita. Doa dan harapan saya, moga Allah akan senantiasa mengurniakan segala yang terbaik untuk rakyat dan Negara tercinta ini. Jazakallah.
0 comments:
Post a Comment