From the Author

noneIlmi Ahmad, a professional motivator. Co-founder of PROQUEST. A Blogger fan.
Email me at enduringclarity@gmail.com or, Contact me through Skype: Ilmi Ahmad

COPYRIGHT & USAGE: All of my entries I posted here are free to copy for any type of personal or commercial use. All I ask is just to give me a credit link as its author.

Thursday, September 04, 2008

Soldiers, Attack..!!! : Mr. Chikungunya

(Berita Harian, 4 September 2008) KUALA LUMPUR : Sejumlah 224 orang disyaki mengalami demam Chikungunya di seluruh negara bagi tempoh 24 hingga 30 Ogos, berbanding 179 orang minggu sebelumnya. Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata 94 kes atau 42 peratus daripada jumlah kes itu dikesan melalui aktiviti pengesanan dari rumah ke rumah. Jumlah kes terkumpul di seluruh negara ialah 1,703 kes iaitu Johor (996), Melaka (405), Perak (173), Negeri Sembilan (92), Selangor (26), Pahang (lima), Putrajaya (tiga), Sarawak (dua) dan Pulau Pinang (satu).

Akhir-akhir ini berasa sangat obses dengan penyakit ini terutama bila ia turut menyerang beberapa ahli keluarga dan kenalan. Dan kini, giliran saya pula! Kesedaran ini menyebabkan saya terlintas untuk berkongsi maklumat berkenaan penyakit yang dibawa oleh “si kecil” yang bernama Aegypty dan Albopictus.

Apa Itu Chikungunya? Penyakit demam chikungunya merupakan penyakit endemik (berlaku dengan kerap di sesuatu kawasan atau populasi, sentiasa ada) yang berpunca daripada virus chikungunya dari keluarga Togaviridae (genus alphavirus) yang menyerang bahagian sendi dan tulang dalam tubuh badan manusia. Kes pertama chikungunya direkodkan pada tahun 1952 di Tanzania, Afrika. Mendapat namanya dari bahasa Swahili, chikungunya bererti ‘melengkung ke atas’, merujuk kepada bentuk badan pesakit yang berubah seperti membongkok disebabkan menanggung kesakitan yang teramat.

Siapa Yang Terdedah Kepada Penyakit Ini? Sesiapa sahaja yang digigit oleh nyamuk yang telah dijangkiti oleh virus ini boleh mendapat penyakit chikungunya.

Bagaimana Ia Boleh Berjangkit? Chikungunya boleh dikatakan ‘bersaudara’ dengan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah kerana ditularkan oleh pembawa yang sama iaitu nyamuk aedes sama ada aegypty mahupun albopictus. Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang. Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat.

Adakah Seseorang Itu Boleh Dijangkiti Oleh Virus Chikungunya Beberapa Kali Seumur Hidupnya? Tidak. Mana-mana individu yang pernah dijangkiti virus ini secara semula jadinya akan membina daya ketahanan yang bertahan lama. Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami sakit sendi yang berpanjangan dari beberapa minggu ke bulan lamanya dan berulang-ulang dalam tempoh yang agak lama, disebabkan oleh reaksi sendi dan bukannya jangkitan virus.

Bagaimana Ia boleh Dikesan (Diagnosis)? Chikungunya dikesan melalui ujian darah. Memandangkan kemunculan klinikal bagi chikungunya dan denggi berdarah mirip di antara kedua-duanya, pengesahan makmal adalah penting, apatah lagi di kawasan-kawasan berlakunya kes-kes demam denggi.

Adakah Ia Boleh Dirawat? Seperti halnya demam denggi berdarah, belum terdapat ubat-ubatan mahupun vaksin bagi mencegah chikungunya. Rawatan sedia ada yang diberikan hanya bersifat simptomatik (sokongan, mengikut gejala bagi tujuan melegakannya). Misalnya, pesakit diberikan ubat penurun panas atau penahan sakit. Pesakit dinasihatkan banyakkan minum air dan istirahat yang cukup. Pesakit perlu diasingkan dan seboleh-bolehnya elakkan daripada kemungkinan terdedah kepada digigit nyamuk, sebagai salah satu usaha mencegah penyebaran virus itu kepada orang lain.

Adakah Terdapat Langkah-langkah Pencegahan? Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan chikungunya, satu-satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum. Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi melindungi diri anda daripada gigitan nyamuk termasuklah:

(1) Tidur menggunakan kelambu, (2) Pakai baju berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya ketika berada di luar rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan langsung kulit terhadap gigitan nyamuk aedes, (3) Pasang penghadang nyamuk pada tingkap, (4) Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga, (5) Biarkan pengudaraan berlaku sama ada dengan kipas angin atau alat penghawa dingin, (6) Sapu krim repelen serangga yang disahkan selamat pada kulit dan pakaian

Adakah Seseorang Yang Telah Dijangkiti Boleh Menularkan Penyakit Chikungunya Kepada Orang Lain Pula? Tidak. Seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan (jangkitan) hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.

Tempoh Berlakunya Penyakit (Pengeraman)? Masa di antara gigitan nyamuk pembawa virus chikungunya dengan terjadinya tanda-tanda penyakit chikungunya berlaku di antara satu hingga tujuh hari (paling biasa berlaku dalam tempoh dua hingga empat hari).

Apakah Gejala/Simptom Penyakit Chikungunya? Simptom-simptom chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada demam denggi. Mujurlah, chikungunya tidak mematikan seperti denggi berdarah. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang sembuh dengan sendirinya. Kalaupun berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.

Demam - Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 390 celsius. Disertai mengigil dan muka kemerahan. Panas tinggi selama 2-4 hari kemudian kembali normal.

Sakit Sendi - Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia) yang biasanya akan menyerang sebelum pesakit mendapat demam. Namun ia mampu bereaksi dengan berat sehingga kadang-kadang seseorang itu akan merasa "lumpuh " tubuh badan sebelum menerima sebarang rawatan atau ubat. Antara bahagian sendi yang sering terancam terutamanya di hujung jari kaki dan tangan, pergelangan tangan, buku lali, lutut, serta tulang belakang atau rasa ngilu pada tulang.

Lain-lain gejala termasuklah kejang serta sakit otot pada bahagian kepala, bahu dan kaki, kesejukan, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

Seperti penyakit-penyakit arbovirus lain, jangkitan chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Kenapa Perlu Dibimbangi? Dalam tempoh seminggu, pesakit berada dalam keadaan kesakitan yang akut (sangat teruk) sehingga tidak boleh bergerak atau berjalan (kelumpuhan sementara) sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya. Pesakit biasanya akan mengalami demam selama lima hingga tujuh hari sebelum beransur-ansur hilang. Ia bagaimanapun boleh berulang kembali.

Jangan lupa juga, chikungunya adalah sekeluarga dengan denggi berdarah. Tambahan pula, gejalanya hampir serupa. Ia juga boleh melemahkan sistem imun tubuh, menyebabkan badan mudah dijangkiti oleh penyakit-penyakit lain.

Juga sedikit fakta yang menyokong yang dipetik dari laporan AFP, sebanyak 148 kematian (secara langsung dan tidak langsung) telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu per tiga daripada penduduknya yang berjumlah 777,000 jatuh sakit disebabkan oleh virus itu.

Apakah Yang Perlu Dilakukan Jika Dijangkiti Penyakit Ini? Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

Nota: (Kebanyakan fakta di atas mengenai chikungunya diambil daripada penjelasan pakar iaitu Dr. Mohamad Ikhsan Selamat, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan dalam satu temu bual bersama WebKL.net namun teks asal mungkin telah diubahsuai penulis mengikut gaya penulisan dan bahasa beliau untuk tujuan pemahaman mudah.)

3 comments:

alhamdulillah.. lega pulak rasanya bila dapat tau aku masih 'terselamat' dari encik chikungunya yang sungguh ingin dijauhi ini. fuh! nampaknya pesan dan nasihat tuan2 dokter memang bguna & boleh diaplikasikn stakat nie. rehat, banyakkan rehat. kurangkan penggunaan tenaga agar antibodi dlm bdn boleh bkerja lebih utk 'bertempur' dgn si virus durjana itu. hasilnya? hahaha, memberangsangkan. oops! dgn izin Allah jua...

salam, gud job litle brother! not a bad start to found out the article about latest virus chikungunya. at last.. so? how is it feel? i told u b4 right.. if u want any other related post in health topic, juz shoot on me okay.. i've a lot. anyway, take a gud care :-)

semekom...
mekaseh byk2 tentang info nie...
sy wat research peringkat kolej tentang 'tahap kesedaran orang ramai mengenai penyakit chikungunya'...dgn info ini,di arapkan kerja sy menjadi lebih berguna dan bermanfaat untuk diri sy terutamanya...

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More