Minggu lalu laporan yang menyatakan Malaysia terus meningkatkan kedudukan daya saingnya apabila ia menduduki tempat ke-20 senarai Laporan Kajian Bank Dunia mengenai Kemudahan Menjalankan Perniagaan 2009 sedikit melegakan dan meyakinkan rakyat bahawa ekonomi negara masih dalam keadaan yang stabil di sebalik kemelut politik yang ‘menghantui’ negara mutakhir ini.
Ia adalah laporan yang melaporkan berkenaan pengkajian terhadap peraturan yang menghalang dan yang menggalakkan aktiviti perniagaan. Ia juga melaporkan peningkatan empat anak tangga daripada tempat ke-24 dalam kajian untuk tahun ini dan ke-25 tahun lalu. Malah, peningkatan daya saing itu adalah lebih ketara jika mengambil kira pertambahan jumlah negara yang terbabit dalam kajian bagi 2009 itu, iaitu 181 daripada 178 bagi 2008 dan 175 pada 2007.
Dalam era pembangunan negara yang berteraskan persaingan ini, laporan-laporan penarafan oleh badan-badan antarabangsa menjadi sumber yang kritikal kepada para pelabur dan pengusaha dalam proses memilih destinasi pelaburan dan perjalanan aktiviti komersial.
Penemuan laporan-laporan penarafan sedemikan adalah berasaskan dua kategori maklumat atau data. Pertamanya ialah komponen hard data iaitu data yang diperoleh daripada dokumen dan pernyataan rasmi oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Keduanya ialah komponen soft data yang diperoleh berdasarkan persepsi dan tanggapan pelabur, usahawan dan orang awam tentang persekitaran perniagaan yang wujud di sesebuah negara. Persepsi sedemikian turut memberi kesan kepada tahap daya saing negara berkenaan.
Salah satu laporan penarafan daya saing tahunan yang menjadi rujukan utama di peringkat global ialah IMD World Competitiveness Yearbook 2008 (IMD WCY 2008) yang dikeluarkan oleh Institute for Management Development (IMD) yang terletak di Lausanne, Switzerland. Penarafan mengikut WCY 2008 juga melibatkan komponen hard dan soft data bagi 4 faktor utama iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur.
Bagi kerajaan, hasil kajian ini haruslah dilihat sebagai satu panduan dan bukanlah sebagai faktor penentu sepenuhnya yang mencerminkan daya saing dalam menarik perniagaan dan pelaburan. Walaupun terdapat penilaian terhadap aspek kecekapan perniagaan yang terletak di luar kawasan Kerajaan, langkah penawaran program-program seperti program produktiviti dan kualiti (P&Q), sistem pengurusan kualiti, pengurusan amalan terbaik, penanda arasan (benchmarking), program-program kepimpinan dan pembangunan pengurusan adalah perlu dan malahan harus diperhalusi dari sudut pelaksanaannya.
Penekanan terhadap bantuan dan galakan dari kerajaan kepada sektor swasta juga perlu agar mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam menguruskan perniagaan, mengurangkan kos perniagaan tanpa menjejaskan kualiti barangan dan perkhidmatan yang dibekalkan dan seterusnya meningkatkan daya saing di pasaran luar.
Sementara itu, menurut World Competitiveness Yearbook yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) yang berpengkalan di Switzerland, pada tahun 2008, Malaysia telah memperbaiki kedudukan daya saing globalnya kepada tangga ke-19, berbanding tangga ke-23 yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Pencapaian lebih baik daya saing negara pada tahun 2008 didorong peningkatan prestasi dalam kesemua elemen model daya saing, iaitu kedudukan prestasi ekonomi negara meningkat kepada tangga ke-8 berbanding tangga ke-12 pada tahun 2007; kecekapan Kerajaan di kedudukan ke-19 (2007: ke-21); kecekapan perniagaan di kedudukan ke-14 (2007: ke-15); dan infrastruktur di kedudukan ke-25 (2007: ke-26).
Untuk berita lanjut berkenaan kedudukan daya saing negara yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, sila klik pada link ini.
1 comments:
Dalam konteks keharmonian Malaysia, apa yang lebih penting ialah dengan memperkasa kerangka asal negara sedia ada ke arah pembentukan negara yang lebih berdaya saing. Pembangunan modal insan seharusnya disuburkan dengan budaya ilmu dan bukan merencatkannya dengan polemik kecelaruan pemikiran.
Post a Comment