Ilmi Jadi Asas Kekuatan Bangsa
LEBIH enam dekad yang lalu, Jepun telah menjadi padang jarak padang tekukur, gara-gara little boy dan fat man yang telah digugurkan oleh pihak tentera Amerika Syarikat. Tragedi ini tersemat di hati semua pencinta keamanan tentang betapa tingginya harga kedamaian dan keharmonian yang perlu dibayar akibat peperangan.
Mungkin Amerika Syarikat telah menghancurkan Jepun dari aspek material. Tetapi ledakan little boy dan fat man tidak dapat membunuh semangat serta budaya keilmuan yang telah membenih di jiwa masyarakat Jepun sejak dinasti Maharaja Meiji. Kini rakyat Jepun telah bangkit membebaskan minda mereka dari diselubungi sejarah hitam yang telah mereka lalui.
Budaya ilmu telah menjadikan negara Jepun maju hanya dalam masa lebih kurang 50 tahun selepas berlakunya tragedi pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki. Jepun kini menjadi antara gergasi ekonomi dunia terutamanya di Asia.
Budaya keilmuan juga telah menganjak paradigma masyarakat Jepun untuk menerokai bidang Sains dan Teknologi merentas pelbagai bidang merangkumi elektronik, permotoran, industri, optik, semikonduktor, besi, kimia, robotik dan mesin. Tidak hairanlah kini Jepun merupakan antara negara yang sangat dihormati dan disegani.
Dalam konteks Malaysia, tradisi keilmuan masih tidak membudaya di kalangan masyarakat. Malah di menara gading pun, menurut Timbalan Naib Canselor UTM, Prof Dr. Zaini Ujang, personaliti yang mempunyai kaitan dengan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu juga semakin tidak menyerlah.
Apabila pengijazahan telah dijadikan sebagai fokus universiti maka hampir semua program kampus berorientasi dan dinilai secara akademik, termasuk berpersatuan, bermasyarakat dan bersukan. Dalam keadaan sedemikian, nilai kesukarelaan dan komitmen sosial yang menjadi satu asas penting pembangunan minda kelas pertama menjadi semakin tidak relevan.
Sebab itu, tidak ramai mahasiswa hari ini mampu tampil menjadi juru bicara ummah dalam konteks mengartikulasi sesuatu permasalahan secara intelektual. Ironinya ada sesetengah mahasiswa yang mengambil pendekatan untuk cepat popular dengan hanya mencedok sesuatu idea tanpa asas keilmuan dan terus memomokkannya tanpa mengetahui sesuatu isu itu secara tuntas dan mendalam. Senario yang tidak sihat ini sebenarnya boleh mendedahkan generasi muda kepada manipulasi pihak berkepentingan serta mudah juga diperkotak-katikkan.
Penemuan hasil dari Laporan Profil Membaca Rakyat Malaysia tahun 2005 menunjukkan bahawa membaca bukanlah aktiviti kegemaran masyarakat berbanding menonton televisyen di waktu lapang. Jika dilihat dalam konteks bahawa membaca merupakan suatu juzuk terpenting dalam budaya ilmu, maka penemuan ini bukanlah suatu cerminan yang positif terhadap budaya keilmuan di Malaysia.
Transformasi Sejarah telah membuktikan bagaimana sesuatu bangsa itu dimartabatkan dengan ilmu. Bangsa jahiliah di Mekah misalnya, merupakan suatu bangsa barbarian yang lemah minda serta rendah moralnya. Tetapi apabila misi pencerahan telah dilakukan oleh baginda Muhammad SAW menerusi semangat Iqra' serta asas nilai Rabbani, maka masyarakat jahiliah telah pun mengalami transformasi spiritual serta moral yang hebat sehinggakan di iktiraf oleh Allah SWT sebagai ummah terbaik.
Demi mencapai pembangunan yang bakal menjamin kebahagiaan dunia mahupun akhirat, budaya ilmu perlu dipugar di segenap lapisan masyarakat agar mereka menjadi lebih beradab, terpelajar serta mampu berperanan untuk kemajuan negara.
Apabila ilmu dan adab telah dipinggirkan, manusia mula bercakaran untuk mencapai agenda tertentu. Kepentingan peribadi lebih diutamakan melebihi kepentingan umum. Manusia menjadi "opportunist". Segala bentuk kepentingan dieksploitasi asalkan tuntutan nafsu dapat dipuaskan.
Justeru, budaya ilmu di Malaysia perlu diperkasakan di mana ilmu dihargai sebagai sifat dan nilai yang utama. Semua keputusan penting harus ditentukan berdasarkan wibawa ilmu dan hikmah, sementara kenyataan-kenyataan yang cuma berdasarkan sesuatu sentimen, agak-agak serta kepentingan tertentu perlulah dielakkan.
Dalam konteks Malaysia, usaha untuk memperkasa kompetensi bangsa serta membangunkan negara sehingga ke tahap kemajuan yang setaraf negara Jepun misalnya, memerlukan cara serta pendekatan tersendiri. Semangat keilmuan Jepun itu harus diseimbangkan bersama ethos keislaman yang telah menjadi asas keharmonian masyarakat Malaysia.
Apabila ilmu dan iman berpadu, manusia akan mula menghargai nilai jujur dan ikhlas. Di sinilah manusia akan memberi kebaikan serta manfaat kepada kehidupan dan alam. Menurut Prof Syed Muhammad Naquib Al Attas, manusia yang baik bukan sekadar manusia yang berpengetahuan, berketerampilan serta faham tanggungjawab kewarganegaraan, malahan lebih penting dari itu ialah kekayaan nilai yang menjadikan manusia itu jujur, ikhlas, amanah, adil, bertolak ansur dan bijaksana. Sesungguhnya kekayaan nilai yang disemai dengan benih keilmuan merupakan asas kekuatan bangsa untuk menjadi masyarakat unggul serta terus berbakti dan berjasa kepada keharmonian negara.
2 comments:
ilmi/ilmu??
-
ilmi tu sebutan dlm arab la syeikh... ilmu tu bila dah terjemah ke melayu maka jadilah ilmu...
Post a Comment